Stok minyak sawit Malaysia meningkat 12.6 peratus pada Mei

Bernama
Jun 12, 2023 19:56 MYT
MPOB, dalam laporan prestasi terkini industrinya, berkata inventori MSM naik 10.7 peratus kepada 921,800 tan bulan lepas daripada 832,966 tan pada April. - Foto fail/DagangNews
KUALA LUMPUR: Jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat 12.6 peratus kepada 1.69 juta tan pada Mei 2023 daripada 1.50 juta tan pada bulan sebelumnya.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dalam laporan prestasi terkini industrinya, berkata inventori minyak sawit mentah (MSM) naik 10.7 peratus kepada 921,800 tan bulan lepas daripada 832,966 tan pada April.
Sementara itu, stok minyak sawit yang diproses naik 15.1 peratus kepada 764,982 tan daripada 664,651 tan sebelum ini.
Pengeluaran MSM meningkat 26.8 peratus kepada 1.52 juta tan pada Mei daripada 1.20 juta tan pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran isirung sawit naik 25.1 peratus kepada 367,689 tan daripada 293,919 tan.
Bagaimanapun, MPOB berkata eksport minyak sawit susut 0.8 peratus atau 8,521 tan kepada 1.08 juta tan pada Mei daripada 1.09 juta tan sebelum ini manakala eksport oleo kimia meningkat 2.5 peratus kepada 227,043 tan.
Sementara itu, eksport biodiesel melonjak 219.8 peratus kepada 13,568 tan pada Mei berbanding 4,242 tan bulan sebelumnya, eksport dedak isirung sawit meningkat 4.2 peratus kepada 177,877 tan daripada 170,772 tan sebelum ini, dan eksport minyak isirung sawit naik 6.1 peratus kepada 93,804 tan daripada 88,447 tan pada April.
Jumlah import MSM kekal sifar pada Mei, manakala jumlah import minyak sawit melonjak 87.7 peratus kepada 80,926 tan berbanding 43,118 tan bulan sebelumnya.
-- BERNAMA
#Malaysia #minyak sawit #eksport #inventori