Stok minyak sawit Februari turun 5.23 peratus
Bernama
Mac 11, 2013 16:03 MYT
Mac 11, 2013 16:03 MYT
Stok minyak sawit turun 5.23 peratus kepada 2.44 juta tan metrik pada Februari tahun ini berbanding 2.58 juta tan metrik pada Januari, demikian menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini.
Katanya stok minyak sawit mentah (MSM) turun 10.11 peratus kepada 1.40 juta tan metrik pada bulan lepas tetapi minyak sawit diproses meningkat 2.26 peratus kepada 1.04 juta tan metrik.
Stok isi rong sawit turun 4.40 peratus kepada 154,220 tan metrik pada Februari manakala stok minyak isi rong sawit mentah turun 3.42 peratus kepada 286,236 tan metrik, katanya dalam satu kenyataan.
Menurut MPOB, pengeluaran MSM pada Februari turun 19.15 peratus kepada 1.29 juta tan metrik berbanding 1.602 juta tan metrik pada bulan sebelum itu.
Pengeluaran isi rong sawit pada bulan lepas turun kepada 336,647 tan metrik berbanding 413,198 tan metrik pada Januari manakala pengeluaran minyak isi rong sawit mentah turun kepada 161,188 tan metrik berbanding 199,807 tan metrik pada Januari.
Pengeluaran dedak isi rong sawit turun 19.02 peratus kepada 178,874 tan metrik berbanding 220,897 tan metrik sebelum ini.
MPOB berkata eksport minyak sawit pada Februari turun 13.98 peratus kepada 1.39 juta tan metrik berbanding 1.62 juta tan metrik pada Januari tahun ini.
Katanya import MSM pada Februari meningkat sedikit kepada 55,410 tan metrik berbanding 54,781 tan metrik sebelum ini manakala pengimportan minyak sawit diproses turun 21.01 peratus kepada 38,731 tan metrik berbanding 49,035 tan metrik pada Januari.
Purata harga tandan buah segar setan metrik meningkat 10 peratus kepada RM24.54 setan metrik pada Februari berbanding RM22.31 pada Januari, katanya.