Stesen Janakuasa Battersea siap sepenuhnya menjelang 2033
Bernama
Oktober 13, 2022 09:30 MYT
Oktober 13, 2022 09:30 MYT
LONDON: Syarikat Induk Projek Battersea (BPHC) menyasarkan projek Stesen Janakuasa Battersea dengan nilai pembangunan kasar GBP9 bilion (GBP1=RM5.20) untuk siap sepenuhnya menjelang tahun 2033 dan mewujudkan destinasi budaya baharu untuk penduduk tempatan serta pelawat dari seluruh dunia.
Pengerusi BPHC Datuk Jagan Sabapathy berkata projek itu, yang dibangunkan dalam tujuh fasa utama, telah siap 60 peratus dengan GBP5 bilion daripada jumlah nilai pembangunan kasar yang direalisasikan.
Katanya projek itu merupakan pembentukan destinasi guna bercampur yang menawarkan komuniti kediaman, kedai, restoran, pejabat, budaya dan tempat riadah serta 7.689 hektar ruang awam, semua perkhidmatan dihubungkan dengan sambungan ke laluan London Underground Northern.
"Kira-kira tiga setengah hingga empat fasa projek itu sedang beroperasi dan dengan aspek paling mencabar selesai, ia dijangka mengambil masa kira-kira 10 tahun lagi untuk siap sepenuhnya," katanya kepada media Malaysia selepas pembentangan dan taklimat mengenai pembangunan projek itu.
Bagi projek masa depan, katanya semua projek mempunyai cabarannya tersendiri tetapi berdasarkan semua infrastruktur yang telah disediakan, fasa baharu akan disiapkan secara berperingkat dan mewujudkan nilai yang signifikan kepada pihak berkepentingan.
Terletak di tebing selatan Sungai Thames, Stesen Janakuasa Battersea atau BPS dimiliki oleh konsortium Malaysia yang terdiri daripada Sime Darby Property Bhd dan S P Setia Bhd, masing-masing memegang 40 peratus kepentingan, dengan baki 20 peratus dipegang oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Aset komersial dalam bangunan stesen janakuasa itu kini dimiliki secara langsung oleh Permodalan Nasional Bhd dan KWSP.
Ia akan dibuka kepada orang ramai pada 14 Okt 2022.
"Pengunjung yang datang ke London biasanya akan melawat tempat pelancongan terkenal termasuk Istana Buckingham dan galeri seni. Bagaimanapun, BPS juga perlu dimasukkan dalam senarai mereka," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company Simon Murphy berkata cabaran yang sukar tidak dapat diselesaikan dengan mudah.
"Bagaimanapun, dengan sokongan pemegang saham, kami dapat melaksanakan sesuatu yang tidak akan mengecewakan...dan kini perkataan yang banyak kami dengar berkaitan projek ini ialah 'wow', dan itulah mesej yang ingin kami sampaikan.
"Projek ini tidak akan ada di sini jika bukan kerana Malaysia. Tanpa pemegang saham, ini tidak akan berlaku," katanya, sambil menambah Malaysia dan United Kingdom (UK) telah bekerjasama untuk melaksanakan sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh orang lain.
Murphy berkata pelbagai pihak telah berusaha selama 30 tahun, namun menemui kegagalan.
Bagaimanapun, ini kali pertama kumpulan pemegang saham yang mempunyai stamina, resolusi, keupayaan dan pengetahuan seumpama itu, berganding bahu dengan pasukan di UK dan membangunkan semula bangunan tersebut.
"Ini adalah projek pembinaan yang terbesar di London sejak 10 tahun lepas," katanya.
Beliau berkata projek kediaman mengekalkan estetik perindustrian manakala ruang pertengahan di bangunan BPS menempatkan segmen runcit serta makanan dan minuman untuk orang ramai.
"Kita juga mempunyai semua kategori jenama, daripada perniagaan kecil sehinggalah syarikat terkemuka yang kita sedia maklum mempunyai banyak tarikan," katanya, sambil menambah kadar pengambilan bagi segmen komersial berjumlah 95 peratus.
Dengan mempunyai lebih 60 lokasi untuk membeli-belah, menjamu selera dan merasai pengalaman, segmen komersial akan dibuka mulai 14 Oktober.
Antara peruncit yang terlibat adalah Hugo Boss, Theory, Lacoste, Ralph Lauren, Aesop, Space NK, Ace + Tate, Mulberry, Jo Malone London, Uniqlo dan Mango.
Battersea Bookshop, kedai buku baharu oleh Stanfords iaitu penjual buku-buku khusus akan turut dibuka, manakala Curated Makers, konsep runcit yang menghubungkan seniman dan penghasil bebas tempatan akan membuka unit pertamanya di London, yang terletak di mercu tanda Gred II itu.
Jenama lain akan dilancarkan menjelang sambutan Krismas dan sepanjang 2023.
Dari segi kediaman, berdasarkan tiga fasa projek, syarikat telah meraih 90 peratus kadar pembelian.
"Orang ramai berminat untuk berkunjung dan tinggal di sini meskipun kadar sewaan semakin meningkat. Kami telah meraih jualan lebih GBP700 juta dalam tempoh 18 bulan lepas dan 50 peratus pembeli adalah dari UK," katanya sambil menambah, syarikat itu turut menjual unit kediaman ke pasaran Asia, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.
Ketika diitanya sama ada inflasi lebih tinggi telah mempengaruhi keputusan orang ramai untuk memiliki atau menyewa rumah, Murphy berkata terdapat minat yang memberangsangkan bagi pemilikan rumah, terutamanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kadar pengangguran di UK untuk tempoh Jun-Ogos 2022 berjumlah 3.5 peratus, merosot 0.3 mata peratusan, sekali gus merupakan kadar terendah sejak Disember hingga Februari 1974.
Projek kediaman BPS yang seterusnya, KOA Residential, akan dilancarkan pada 21 Okt 2022 dengan harga bermula daripada GBP560,000 untuk pangsapuri berkeluasan 389 kaki persegi.
-- BERNAMA