STeP sasar 100 usahawan IKS di Perak miliki sijil halal
Amirrul Rabbani
Mac 1, 2023 19:38 MYT
Mac 1, 2023 19:38 MYT
IPOH: Kerajaan negeri Perak menerusi Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) bersedia untuk membantu para usahawan di bawahnya untuk mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed berkata, justeru STeP sedang menyasarkan 100 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di bawah bimbingannya memiliki sijil perakuan tersebut pada tahun ini.
“Saya kira setiap usahawan memang mereka sedia maklum di mana terdapat kekangan-kekangan yang mereka hadapi (dalam untuk mendapatkan sijil halal Jakim).
“Sebab itu pada tahun ini, STeP menyasarkan 100 orang usahawan yang mana kita lihat mempunyai kekangan ke arah itu, namun ada potensi besar.
“Oleh itu, kerajaan negeri melalui agensi-agensinya bersedia untuk membantu mereka yang layak ini untuk mendapatkan sijil halal Jakim,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Perak Pavilion di Pusat Beli Belah Aeon Falim di sini, pada Rabu.
Sementara itu ketika diminta mengulas berkenaan peratusan permohonan sijil halal Jakim yang masih rendah dalam kalangan Bumiputera yang termasuk usahawan di Perak, Salbiah berkata pihaknya sedang giat melaksanakan pelbagai usaha agar mereka dapat segera membuat permohonan tersebut.
Katanya perakuan sijil halal terhadap sesuatu produk amat penting sekiranya para pengusaha mahu melebarkan sayap produknya ke luar negara terutama ke negara-negara Islam.
“Sekiranya usahawan tiada sijil halal, mereka akan sukar untuk memasarkan produk mereka, terutama jika mahu menembusi pasaran ke negara-negara Islam.
“Oleh sebab itu, penting untuk mereka mendapatkan sijil halal dan kita juga mengharapkan agar setiap usahawan ini dapat berdaftar dengan STeP melalui Pangkalan Data IKS atau SME Database.
“Ini kerana, melalui pangkalan data itu, ia akan memudahkan kita untuk mengenal pasti apakah masalah-malah yang mereka hadapi, dan seterusnya dapat kita bantu mereka dengan segera,” katanya lagi.
Sebelum ini Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mendedahkan peratusan permohonan sijil halal melibatkan semua skim bagi tahun 2022 adalah 72 peratus dalam kalangan bukan Bumiputera, sementara hanya 28 peratus dalam kalangan pemohon Bumiputera.
JAIPk memaklumkan ia menunjukkan kesedaran berhubung sijil dan logo halal Jakim dalam kalangan Bumiputera di negeri itu masih rendah.
Mengulas tentang program Salbiah berkata Perak Pavilion yang menghimpunkan gerai jualan daripada hampir 100 usahawan dari dalam dan luar negeri itu berlangsung selama enam hari bermula Selasa.
Antara pengisian lain program berkenaan termasuk persembahan artis dan kebudayaan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan busana, cabutan bertuah dan sebagainya.