Status SFZ Forest City tingkat pelaburan asing, rangsang pertumbuhan ekonomi Iskandar Malaysia - IIB

Bernama
September 1, 2023 21:11 MYT
Jarak yang hampir antara Medini dan Forest City menyediakan peluang ideal dalam mengejar visi untuk membina metropolis masa depan yang inklusif dan mampan. - Reuters
JOHOR BAHRU: Status zon kewangan khas (SFZ) Forest City akan menggariskan langkah strategik untuk meningkatkan pelaburan asing dan pada masa yang sama merangsang pertumbuhan ekonomi di Iskandar Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB) Datuk Idzham Mohd Hashim berkata sebagai pemangkin utama dan pemaju strategik dalam Zon Utama Iskandar Malaysia B, yang merangkumi Medini dan EduCity, IIB percaya status SFZ memberikan peluang pelaburan yang menjanjikan dan menandakan satu kejayaan yang besar bagi memacu pertumbuhan ekonomi seluruh rantau ini.
"Jarak yang hampir antara Medini dan Forest City menyediakan peluang yang ideal dalam mengejar visi kami untuk membina metropolis masa depan yang inklusif dan mampan melalui kerjasama yang lancar, mengenal pasti peluang serta melengkapkan cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Idzham berkata IIB juga komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan dan negeri berhubung penubuhan Zon Ekonomi Johor-Singapura sementara menunggu butiran lebih komprehensif mengenainya.
"Johor sentiasa menjadi destinasi yang berdaya saing untuk pelaburan, justeru itu, perkembangan IIB di rantau ini menjadi bukti kepada naratif ini.
"Dengan infrastruktur yang mantap, kemudahan pengangkutan pelbagai mod dan kedudukan strategik yang menempatkan kami hanya 15 minit dari Forest City dan hanya 20 minit ke Singapura, IIB bersedia untuk memanfaatkan peluang yang berpotensi timbul daripada SFZ juga," katanya.
Pada 25 Ogos, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembentukan zon kewangan khas di Forest City serta beberapa insentif untuk merancakkan aktiviti ekonomi di Johor dan kawasan sekitarnya.
-- BERNAMA
#iib #Forest City #pelaburan asing #zon kewangan khas #sfz
;