Starbucks, Alibaba jalin kerjasama ubah pengalaman pelanggan nikmati kopi
Bernama
Ogos 2, 2018 05:17 MYT
Ogos 2, 2018 05:17 MYT
Starbucks Coffee Company (Starbucks) dan Alibaba Group Holding Ltd (Alibaba) menjalin kerjasama strategik dalam 'peruncitan baharu' yang akan membolehkan pengguna menikmati Pengalaman Starbucks yang lancar di samping mengubah industri kopi di China.
Kerjasama yang merentasi perniagaan utama dalam ekosistem Alibaba, termasuk Ele.me, Hema, Tmall, Taobao dan Alipay, Starbucks akan mempelopori perkhidmatan penghantaran bermula September ini dengan mewujudkan "Dapur Penghantaran Starbucks" bagi memenuhi pesanan penghantaran.
Ia juga mengintegrasikan pelbagai platform bagi mewujudkan kedai Starbucks maya yang belum pernah wujud sebelum ini - satu Pengalaman Starbucks dalam talian yang tiada tandingan dan lebih peribadi untuk pelanggan China.
"Hasil daripada pengalaman pelanggan yang disampaikan oleh lebih 45,000 rakan kami, Starbucks semakin berkembang dan berinovasi lebih cepat di China berbanding tempat lain di dunia," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Starbucks Coffee Company Kevin Johnson.
Beliau berkata perkongsian dengan Alibaba akan membentuk semula peruncitan moden, dan melambangkan pencapaian penting dalam usaha syarikat untuk melangkaui jangkaan pengguna China.
Sementara itu, CEO Alibaba Group Daniel Zhang berkata:" Starbucks lebih daripada satu destinasi untuk kopi premium dan kami berkongsi wawasan yang sama untuk menjadi perintis bagi suatu budaya dan gaya hidup kopi yang baharu menerusi inovasi dan teknologi."
"Perkongsian ini sekali lagi menjadi bukti kejayaan kepada strategi Peruncitan Baharu kami," katanya.
Melalui kerjasama ini, Starbucks akan bekerja dengan Ele.me, platform penghantaran makanan atas permintaan yang terkemuka di China dengan tiga juta penghantar berdaftar.
Starbucks akan memulakan penghantaran rintis pada September ini di 150 kedai yang terletak di zon-zon perdagangan utama di Beijing dan Shanghai dengan rancangan untuk memperluaskan program itu kepada lebih 2,000 kedai merentasi 30 bandar raya menjelang akhir tahun ini.
"Ini adalah satu peristiwa penting bagi Ele.me dalam memperkukuhkan kerjasama dengan rangkaian runcit dan terus mengembangkan penembusan kami di dalam sektor penghantaran makanan," kata CEO Ele.me Wang Lei.
Selain itu, Starbucks juga akan bekerjasama dengan pasar raya Hema untuk menjadi jenama runcit yang pertama mewujudkan "Dapur Penghantaran Starbucks" yang khusus di lokasi mereka.
Ia akan menggunakan keupayaan penghantaran dan pencapaian berbeza Hema untuk melengkapi penghantaran minuman kopi dan teh Starbucks yang dihasilkan melalui kedai Starbucks sedia ada.
Starbucks akan juga memanfaatkan pandangan pengguna Hema yang sangat efektif dan kepakaran pencapaian unik untuk menembusi seterusnya dan memberi perkhidmatan yang lebih baik dalam memenuhi keperluan individu dan keluarga dalam komuniti di seluruh China.
Menurut kenyataan itu, satu inisiatif strategik yang utama di bawah perkongsian itu ialah pembangunan kedai perintis Starbucks maya yang pertama seumpamanya di China yang menyaksikan Alibaba mengembangkan sebuah hab pengurusan dalam talian yang berpusat, dengan keupayaan unik untuk mengintegrasi dan menyampaikan Pengalaman Starbucks yang konsisten merentasi pelbagai platform digital.
Inovasi terbaharu ini, katanya, akan merevolusikan model luar talian ke dalam talian tradisional secara berkesan dan memperluaskan jangkauan Pengalaman Starbucks ke dalam gaya hidup seharian bagi pengguna China, tanpa mengira masa atau tempat.
Perkongsian ini merupakan langkah penting dengan kedua-dua syarikat bergabung tenaga untuk meningkatkan pengalaman pelanggan merentasi ke seluruh China.
Maklumat mengenainya boleh didapati dengan melayari https://www.starbucks.com.
-- BERNAMA
#Alibaba
#China
#dalam talian
#Hema
#kerjasama
#Kevin Johnson
#kopi
#pasar raya
#Pengalaman Starbucks
#penghantaran
#peruncitan
#Starbucks