Stanchart yakin pasaran komoditi global
Bernama
Januari 11, 2013 18:58 MYT
Januari 11, 2013 18:58 MYT
Standard Chartered Bank mengekalkan pendirian positif mengenai pasaran komoditi global, terutama bagi emas, minyak dan logam, pada tahun ini.
Pakar Strategi Kanan Pelaburan, Pengurusan Kekayaan Kumpulan Manpreet Gill berkata harga emas dijangka meningkat secara perlahan-lahan tahun ini.
"Pengenalan banyak langkah mengurangkan tekanan oleh bank-bank pusat global telah meningkatkan lagi pembelian emas.
"Kami menjangka permintaan mendapatkan emas mendapat sokongan pada suku pertama tahun ini walau pun pemulihan global dijangka berlaku hanya pada separuh kedua," katanya pada taklimat media mengenai tinjauan pasaran.
Bank itu mengunjurkan harga komoditi yang bernilai itu mencecah RM5771 seauns pada tahun ini, dengan penurunan harga di dalam pasaran dalam tempoh jangka pendek manakala pemacu jangka panjang kekal utuh.
Mengenai minyak, pemulihan ekonomi global dijangka mengurangkan lebihan bekalan minyak mentah, di tengah-tengah penurunan inventori Amerika Syarikat, yang ditambah oleh pengeluaran yang rendah.
Mengenai logam, kemajuan pemulihan ekonomi global yang diterajui oleh ekonomi kedua terbesar di dunia, China, dijangka menaikkan harga tembaga serta meningkatkan permintaan mendapatkan komoditi itu.
"Harga tembaga kemungkinan meningkat, dengan inventori di Shanghai kekal tinggi tetapi stok global masih rendah," katanya.