SSM bantu usahawan daftar perniagaan secara percuma

Ehsan A Marisah
Mac 31, 2021 12:01 MYT
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, SSM sentiasa menekankan usaha ke arah 'memudahkan perniagaan' dan 'mengurangkan kos perniagaan'. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Mac lalu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) bagi membuka peluang kepada lebih ramai individu menceburi bidang perniagaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sejak diperkenalkan pada 23 Disember 2020, skim yang awalnya menyasarkan ibu tunggal, belia B40 serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) telah ditambahbaik dan diperluas.
“Bermula 16 Februari 2021, ia diluaskan kepada semua golongan usahawan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa.
“Ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 180,000 usahawan dan bakal usahawan dari kumpulan sasaran,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau menambah, SSM berharap skim tersebut meringankan golongan sasaran terkesan yang mempertimbangkan perniagaan sebagai alternatif menambah pendapatan untuk menghadapi COVID-19.
“Dengan mendaftarkan perniagaan secara percuma melalui SPPP ini, mereka boleh mendapatkan akses kepada pelbagai dana ditawarkan agensi kerajaan di samping membantu golongan B40 meneruskan kelangsungan hidup.
“Bagi usahawan golongan B40 berusia 18 tahun ke atas serta mempunyai MyKad atau MyPr boleh memohon skim ini dan perlu mempunyai maklumat dalam pangkalan data sebagai penerima bantuan BPN 2.0 bagi golongan B40 serta tiada rekod entiti perniagaan yang masih aktif di SSM,” katanya.
Sehingga kini, SSM telah meluluskan sebanyak 2,148 permohonan sejak skim tersebut diperkenalkan dan menyasarkan 30,000 usahawan memanfaatkannya tahun ini.
Permohonan boleh dibuat melalui Portal EzBiz Online di pautan ezbiz.ssm.com.my. atau menghubungi SPPP di talian 03-77214000.
*Artikel ini adalah kandungan berbayar.
#Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi #PEMERKASA #Suruhanjaya Syarikat Malaysia #SSM #Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin #KPDNHEP #Muhyiddin Yassin #COVID-19 #SPPP
;