SPNB tambah rumah mampu milik, rumah mesra rakyat 1Malaysia
Bernama
September 20, 2013 07:52 MYT
September 20, 2013 07:52 MYT
Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) akan menambah projek Rumah Mampu Milik dan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia bagi menampung permintaan yang dijangkakan meningkat.
Usaha itu dilakukan bagi memantapkan lagi saranan kerajaan dalam program pembangunan perumahan untuk golongan masyarakat di luar bandar, kata SPNB menerusi satu kenyataan hari ini.
"SPNB sedang menjalankan sesi jelajah di seluruh negara, bermula di Sungai Petani, Kedah, pada 16 Sept lepas, selama dua minggu.
"Sesi jelajah SPNB 2013 ini merupakan inisiatif bagi mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat yang selama ini menyokong aktiviti SPNB," katanya.
SPNB diamanahkan oleh kerajaan untuk membina pangsapuri kos rendah dan sederhana, Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia serta Rumah Mampu Milik, membabitkan peruntukan RM320 juta.
Ini selaras usaha yang diambil kerajaan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah serta sederhana untuk memiliki rumah sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang.
Melalui sesi jelajah itu, SPNB turut menyerahkan kunci rumah kepada 10 pemohon di Kedah, Pulau Pinang (10), Perak (10) Negeri Sembilan (10), Johor (10) manakala surat tawaran kepada 51 pemohon di Kedah, Pulau Pinang (4), Perak (31) Negeri Sembilan (25) dan Johor (49).