#SokongPeniagaKecil: Netizen gerakkan kempen bantu peniaga terkesan

Nailah Huda
Oktober 18, 2020 13:32 MYT
Aaron Denison, salah seorang anak muda yang membangunkan kempen #SokongPeniagaKecil membeli dari gerai makanan di Jalan Cheras, Bandar Kajang.- Foto oleh Aaron Denison
KUALA LUMPUR: Semangat #KitaJagaKita dan #RakyatJagaRakyat tidak pernah putus sejak negara dilanda wabak COVID-19 malah jauh terpupuk dalam kalangan jiwa rakyat negara itu.
Sekali lagi, semangat kekitaan seumpamanya tercetus apabila orang ramai mengambil inisiatif untuk membantu peniaga kecil yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Walaupun kebanyakan premis perniagaan masih dibenarkan beroperasi, namun jumlah pelanggan yang berkurangan dan sekatan pergerakan memberi impak besar kepada peniaga.
Situasi ini mendorong masyarakat untuk memberi sokongan kepada peniaga-peniaga kecil tempatan dengan mempromosikan perusahaan mereka dalam talian.
Bagi sekumpulan anak muda dari beberapa kawasan di Lembah Klang, itu menjadi objektif mereka dalam menggerakkan kempen #SokongPeniagaKecil.
“Kami menyediakan poster dan mengambil keputusan untuk membeli daripada peniaga kecil, ambil gambar bersama mereka dan muat naik gambar tersebut di media sosial bersertakan tanda pagar #SokongPeniagaKecil,” kata Aaron Denison, salah seorang individu yang membangunkan kempen itu ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah rakannya, Vignash Asokan, 22, inisiatif itu kemudian berkembang dan mendapat perhatian netizen di negeri lain.
“Setelah memulakan kempen ini di media sosial, ramai yang mula menyokong peniaga kecil sambil menggunakan tanda pagar #SokongPeniagaKecil dan ada yang menyokong dengan cara mereka sendiri,” jelas Vignash.
Aaron menambah bahawa kempen itu juga dapat mengalih perhatian daripada ketidaktentuan politik semasa kepada semangat kekitaan rakyat.
“Kami berharap untuk mengajak masyarakat bersama mencakna dan menyumbang inisiatif sendiri dalam membantu peniaga kecil yang sebenarnya antara yang paling terkesan sepanjang PKPB kali kedua ini,” kata Siti Sara Salimi, 23, yang turut serta menggerakkan kempen itu.
“Kempen ini juga diharap dapat membuka mata masyarakat tentang perlunya ada sokongan dalam kalangan kita di saat-saat getir seperti ini dan dalam masa sama memastikan peniaga-peniaga kecil dapat ‘survive’ sepanjang tempoh PKPB,” tambah rakan seperjuangan Farhan Amran.
Setakat Mei, negara dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM63 bilion sepanjang fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, iaitu sebanyak RM 2.4 bilion sehari.
Kebanyakan peniaga kecil bergantung kepada bantuan kerajaan seperti pakej Penjana yang diumumkan pada Jun dan September lalu.
#SokongPeniagaKecil #Peniaga kecil #kempen #media sosial #perusahaan kecil dan sederhana #PKS #PKPB #PKP #PENJANA #COVID-19 #Kita Jaga Kita #rakyat jaga rakyat
;