SME Corp, Funding Societies peruntuk dana RM6 juta kepada usahawan belia bumiputera

Kenyataan Media
November 14, 2023 15:38 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata pihaknya berharap dapat memanfaatkan kerjasama dengan Funding Societies untuk menyediakan rumusan pembiayaan jangka pendek yang inovatif dan pantas.- SME Corp Malaysia
KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia dan Funding Societies memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM6 juta untuk usahawan belia bumiputera di bawah program Inisiatif Pembiayaan PMKS Bumiputera (BMFI) yang baru dilancarkan.
Inisiatif pembiayaan baharu itu bertujuan meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh SME Corp.
Funding Societies, sebagai Rakan Kongsi Kewangan yang dilantik, akan memperluaskan penyelesaian pembiayaan digitalnya kepada usahawan belia melalui program Pembiayaan Tunas-i mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, pihaknya berharap dapat memanfaatkan kerjasama dengan Funding Societies untuk menyediakan rumusan pembiayaan jangka pendek yang inovatif dan pantas melalui platform digital untuk PMKS bumiputera, sebagai tambahan kepada pembiayaan kerajaan sedia ada.
"Justeru, kami menjangkakan lebih ramai PMKS bumiputera akan mengambil peluang daripada inisiatif ini bagi memenuhi keperluan pembiayaan mereka, khususnya dalam modal kerja," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, perusahaan mikro dan usahawan belia memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi pertumbuhan yang lebih terangkum, mampan dan seimbang untuk Malaysia.
"Namun, mereka menghadapi cabaran berterusan dalam mendapatkan akses kepada pembiayaan, lazimnya disebabkan oleh kekurangan atau ketiadaan cagaran dan prestasi kredit.
"Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan SME Corp Malaysia dalam memperkasakan usahawan muda kita. Ini turut menjadi tonggak kepada perkongsian sedia ada kami dengan agensi kerajaan dan kami berazam untuk mempelbagaikan kerjasama pada masa hadapan demi mengukuhkan ekosistem PMKS," katanya.
Mula diperkenalkan pada 2014, program TUBE bermatlamat menggalakkan belia Bumiputera berumur antara 18 hingga 30 tahun untuk menceburi bidang perniagaan serta membina daya tahan, disiplin dan kepimpinan dalam pengurusan perniagaan.
Di bawah program TUBE, seramai 7,040 usahawan berdaftar dan alumni TUBE berpeluang memohon Pembiayaan Tunas-i, dengan dokumentasi minimum tanpa sebarang keperluan cagaran.
#usahawan #Belia #SME Corp #TUBE #PMKS bumiputera
;