SME Bank tambah baik agenda ESG dalam operasi perniagaan
Astro Awani
Julai 12, 2022 19:47 MYT
Julai 12, 2022 19:47 MYT
KUALA LUMPUR: Selari dengan pembentukan Pelan Hala Tuju Kemampanan Tiga Tahun 2021-2023, SME Bank kini telah menambah baik agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaannya.
Presiden Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr Aria Putera Ismail berkata, penambahbaikan itu juga disumbang kejayaan bank tersebut menerbitkan Sukuk Kelestarian pertama bernilai RM500 juta pada tahun lepas.
Menurutnya, pelan hala tuju tersebut menggariskan objektif jangka pendek dan matlamat jangka panjang bank tersebut serta komitmen untuk menyelitkan DNA ESG ke dalam operasi perniagaan.
“Ia dibahagikan kepada tiga fasa iaitu Permulaan ESG dan Memperkemas Fokus Perniagaan, Pelaksanaan ESG dan Memperkemas Fokus Bukan Perniagaan serta Adaptasi ESG dan Peningkatan Berterusan menuju Kemampanan.
“Memasuki tahun kedua pelaksanaan pelan hala tuju ini, tumpuan dialihkan untuk menginstitusikan budaya ESG di seluruh Bank.
“Ia juga adalah untuk mewujudkan kesedaran ESG secara maksimum dengan pelanggan dan menetapkan Rangka Kerja Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang komprehensif dan tersendiri.
“Pembangunan Rangka Kerja SDG ini melibatkan beberapa perkara penting seperti penilaian materialiti antara pihak berkepentingan SME Bank, mengenal pasti jurang dan menyelaraskan strategi SME Bank dengan matlamat ESG,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Ketua Pengurusan Kemampanan dan Strategi SME Bank, Zakiah Mat Esa berkata,perjalanan kemampanan bank tersebut berteraskan tiga tonggak utama iaitu Perbankan Bertanggungjawab, Amalan Perniagaan Bertanggungjawab dan Mencipta Impak Sosial.
“Selain itu, agenda kemampanan SME Bank juga selaras dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi (PMF) Bank Negara Malaysia. Pada dasarnya, terma “ESG” dan “Kemampanan” diguna silih berganti dan memberi erti yang sama.
“Pada masa ini, kami sedang menjalankan kaji selidik mengenai isu materialiti dengan pihak berkepentingan terpilih termasuklah pelanggan, kementerian berkaitan, agensi, pekerja, NGO, komuniti tempatan, dewan perniagaan, persatuan, vendor dan pelabur.
“Hasil kaji selidik akan membolehkan Bank mengenal pasti isu penting untuk pihak berkepentingan kami dan dari situ, Bank akan merumuskan strategi bersesuaian untuk mencapai matlamat kemampanan selaras SDG Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu PBB),” ujarnya.