SME Bank sedia dana RM200 juta bantu perniagaan sektor 3D

Haikal Raman
Jun 29, 2021 13:36 MYT
Dengan adanya Pembiayaan Padanan Geran PEMERKASA oleh SME Bank ini, usaha transformasi perniagaan sektor 3D oleh kerajaan mampu direalisasikan dengan lebih pantas.
KUALA LUMPUR: SME Bank memperuntukkan dana RM200 juta di bawah Pembiayaan Padanan Geran, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), khusus bagi membantu usahawan yang terlibat dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).
Ia terutamanya dalam bidang pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pembinaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Usaha tersebut selaras dengan pengumuman inisiatif PEMERKASA oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, sektor 3D merupakan antara sektor perniagaan yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada institusi kewangan.
Ini kerana, katanya, hampir keseluruhan operasi perniagaan sektor ini terjejas berikutan pelaksanaan beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020.
Menurutnya, Pembiayaan Padanan Geran PEMERKASA ini membolehkan usahawan mendapat pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tempoh maksimum 10 tahun dengan kadar keuntungan antara empat dan lima peratus setahun.
“Bagi pembiayaan yang diluluskan, Kementerian Kewangan akan menawarkan padanan geran sehingga maksimum 20 peratus daripada nilai pembiayaan diberikan.
“Ini akan membolehkan usahawan PKS membuat pembelian mesin, peningkatan adaptasi teknologi dalam perniagaan dan membantu dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Aria, pelanggan SME Bank turut berpeluang mengikuti program bimbingan keusahawanan dan pembangunan kapasiti secara percuma di bawah anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR).
“Kemudahan pembiayaan itu juga boleh mendapat jaminan sehingga 80 peratus daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).
"Kami percaya dengan adanya Pembiayaan Padanan Geran PEMERKASA ini, usaha transformasi perniagaan sektor 3D oleh kerajaan mampu direalisasikan dengan lebih pantas, sekali gus menarik lebih ramai tenaga kerja tempatan menyertai sektor ini," ujarnya.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung Pembiayaan Padanan Geran PEMERKASA SME Bank, para usahawan PKS boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03-26037700 atau www.smebank.com.my dan media sosial rasmi SME Bank.
#SME Bank #Sektor3D #PandemikCOVID19 #COVID-19 #PEMERKASA #PembiayaanPadananGeran #Danabantuan #PKP #ProgramBimbinganCEDAR #bank #Kementerian Kewangan #usahawan #pandemik #ekonomi #keusahawanan #perintah kawalan pergerakan #PKS
;