SME Bank sambut baik agenda pembangunan PKS dalam Bajet 2016
Astro Awani
Oktober 24, 2015 10:55 MYT
Oktober 24, 2015 10:55 MYT
SME Bank pada Jumaat menyambut baik pembentangan Bajet Nasional 2016 yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat khususnya dalam agenda pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Dalam sebuah kenyataan media, SME Bank memberitahu bahawa hanya tinggal lima tahun lagi sebelum negara mencapai sasaran 41 peratus sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2020.
Dalam usaha menjadikan sasaran tersebut satu realiti, pertumbuhan yang akan direkodkan perlu melebihi 10 peratus setiap tahun dan angka ini adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan tahunan iaitu antara empat hingga lima peratus setahun.
SME Bank percaya, usaha yang lebih menyeluruh dan pelbagai yang melibatkan peningkatan inovasi, produktiviti serta peluang pemasaran di luar Malaysia perlu diberi tumpuan khusus oleh usahawan PKS dan agensi-agensi yang terlibat.
“Dalam berusaha ke arah tersebut dan dengan kerjasama pihak kerajaan, SME Bank akan memperuntukkan RM200 juta untuk melaksanakan program Transformasi Teknologi PKS atau "SME Technology Transformation Fund (STTF)" dan RM500 juta untuk pelaksanaan program Sistem Pembinaan Berindustri atau "Industralised Building System (IBS) Promotion Fund" yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2016 dengan kadar segera,” kata kenyataan itu.
Melalui STTF, SME Bank akan menyediakan pembiayaan untuk menyokong peningkatan teknologi PKS kearah mencapai produktiviti yang lebih tinggi, peningkatan dalam kecekapan proses, pengurusan kos yang efisien serta pengembangan perniagaan ke pasaran eksport.
SME Bank akan bekerjasama dengan pihak SIRIM dan SME Corp dalam pelaksanaan STTF.
“Fokus IBS pula ialah untuk memberi pembiayaan kepada pengeluar dan kontraktor yang layak serta memiliki persijilan CIDB dalam pembinaan projek perumahan dan projek kerajaan yang lain. Pelaksanaan IBS adalah melalui kerjasama antara SME Bank dan CIDB,” katanya.
Pada masa yang sama, SME Bank akan mendokong penuh mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan untuk melaksanakan kedua-dua program tersebut bagi mencapai sasaran sumbangan PKS kepada KDNK sebanyak 41 peratus menjelang 2020.