SME Bank jalin kerjasama penjenamaan bersama Kedah Holdings

Astro Awani
Julai 1, 2019 17:09 MYT
Dari kiri, Pengarah Prowheels Distributor Mohammad Majdi Mohd Ramlee, Aria Putera dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad Faris Najhan Hashim menandatangani memorandum persefahaman. - Foto SME Bank
Usahawan PKS di Kedah kini berpeluang memperoleh manfaat daripada program pembiayaan yang disediakan oleh SME Bank susulan beberapa kerjasama baru yang diumumkan.
Menurut Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail ini dicapai menerusi kerjasama penjenamaan dengan Kedah Holdings Sdn Bhd dan memorandum persefahaman antara SME Bank dengan Prowheels Distributor (M) Sdn Bhd.
Kerjasama dengan Kedah Holdings akan menyaksikan penyediaan kemudahan pembiayaan oleh SME Bank dalam membantu membiayai projek perumahan mampu milik di sekitar Pokok Sena, Kedah, yang dibangunkan oleh Kedah Holdings.
Ini juga akan menyaksikan SME Bank meletakkan logonya di atas papan iklan projek perumahan tersebut.
Selain itu, SME Bank turut menawarkan kemudahan pembiayaan kepada vendor-vendor terpilih dan mendapat kontrak daripada Prowheels Distributor.
Melalui pembiayaan ini, Prowheels Distributor akan menyaring vendor yang menepati kriteria untuk diberi kontrak atau pengendali berlesen.
Vendor yang terpilih layak memohon pembiayaan dengan SME Bank dengan pembiayaan minimum RM100,000 bagi pembelian aset serta modal kerja.
Selain bantuan kewangan, SME Bank akan turut menyediakan latihan keusahawanan secara percuma kepada mereka di bawah program ini yang akan dikendalikan anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development Sdn Bhd (CEDAR).
Prowheels Distributor adalah syarikat Bumiputera pertama yang menjadi pengedar tayar jenama ZETA dengan 74 rakan niaga pusat servis tayar dan kenderaan di seluruh Malaysia.
Prowheels Distributor menggunakan konsep ‘mentor-mentee’ bagi membimbing usahawan PKS terutama Bumiputera yang berminat untuk membuka kedai servis tayar dan kenderaan sendiri.
#Kedah #Kedah Holdings #kemudahan pembiayaan #kerjasama #Memorandum Persefahaman #perumahan mampu milik #PKS #Prowheels Distributor #SME Bank #usahawan #usahawan kecil dan sederhana
;