SME Bank bantu perkasa ekonomi PKS di Sabah
Ehsan A Marisah
September 6, 2021 20:13 MYT
September 6, 2021 20:13 MYT
KOTA KINABALU: Komited memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah, Small Medium Enterprise Development Bank Berhad (SME Bank) mewujudkan inisiatif dengan menawarkan pakej yang lengkap kepada usahawan PKS di negeri itu.
Ia juga sebagai usaha memulihkan prestasi ekonomi negeri yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara Fasa ke-2.
Sehubungan itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara SME Bank dan Sabah Development Bank Berhad (SDB) merangkumi pelbagai pakej pembiayaan dan program pembangunan usahawan bernilai RM150 juta.
Ia bakal menyediakan Pakej Pembiayaan dengan Jaminan SDB dan kemudahan pembiayaan ‘club deal’ bagi projek berskala besar untuk usahawan PKS di negeri itu meliputi perkongsian sumber, program pembangunan usahawan dan mempromosikan kemudahan disediakan kedua-dua pihak.
Antara sektor diberikan perhatian ialah perindustrian, pelancongan, pembuatan, perdagangan dan pertanian seiring dengan teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2021-2025.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, pihaknya telah meluluskan sejumlah pembiayaan sebagai usaha menyediakan pembangunan PKS agar mereka tidak ketinggalan
“SME Bank telah lama bertapak di Sabah dan melalui tiga buah cawangannya (Pusat Wilayah Sabah, Pusat Enterpris Kota Kinabalu dan Pusat Enterpris Tawau) telah meluluskan lebih RM118 juta pembiayaan kepada 184 PKS pada tahun 2020 dan bagi tahun 2021 sehingga bulan Julai, pembiayaan bernilai RM88 juta telah diluluskan kepada 150 PKS.
“Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan yang memegang mandat memupuk dan membangunkan PKS negara, adalah penting untuk SME Bank meluaskan jaringan perkhidmatan agar tidak ada PKS yang ketinggalan dalam menerima bantuan.
"Anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) akan turut sama menawarkan program pembangunan keusahawanan dan keupayaan yang bersesuaian bagi memperkasakan lagi usahawan PKS di bawah ekosistem SDB," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SDB, Datuk Vincent Pung Yee Kiong berkata, kerjsama itu tepat pada masanya buat PKS selain berperanan meningkatkan ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan peluang pekerjaan.
“Kerjasama di antara SME Bank dan SDB datang tepat pada masanya bagi menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dalam sektor PKS ini.
“Sektor PKS memainkan peranan penting dalam perkembangan sosioekonomi negara, terutamanya dari segi sumbangan kepada KDNK dan penyediaan pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, SME Bank dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) turut bertukar dokumen Surat Hasrat (Letter of Intent) untuk program pembangunan usahawan asnaf di negeri Sabah.
Melalui kerjasama itu, MUIS akan memilih 10 orang peserta daripada kalangan usahawan asnaf bagi menyertai Program ISHRAF 2.0 SME Bank.
Peserta akan mengikuti latihan keusahawanan berstruktur dikendalikan perunding latihan keusahawanan dalam talian dan sesi bimbingan berkala secara berterusan selama setahun bagi memastikan perkembangan perniagaan serta peningkatan tahap sosioekonomi peserta.
Ia sekali gus mengeluarkan mereka daripada golongan yang menerima zakat dan berubah kepada kelompok yang mengeluarkan zakat.
Program itu turut diperluas kepada usahawan asnaf terpilih di lima buah negeri lain iaitu Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perlis.
Terdahulu, majlis menandatangani MoU antara SME Bank dengan SDB diwakili oleh Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dan SDB diwakili oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Vincent Pung Yee Kiong dan MUIS telah diwakili oleh Timbalan Yang di-Pertua, Malai Ali Malai Ahmad.
Majlis tersebut disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Kewangan lI Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr Safar Untong.