SLP Resources dijangka berdepan tekanan kos akibat harga resin tinggi

Agensi
Mei 12, 2022 11:10 MYT
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' untuk SLP dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.18. - Fail DagangNews
KUALA LUMPUR: Kenanga Research menjangkakan harga resin akan kekal tinggi sehingga 1HCY22 dan sekali gus memberi tekanan kos kepada SLP Resources Berhad.
Firma itu berkata, kenaikan harga resin itu berpunca daripada langkah sekatan pergerakan di China, gangguan rantaian bekalan global dan ketegangan geopolitik yang berterusan.
"Selain itu kadar penggunaan SLP juga telah menurun kepada 55% pada 1QFY22 berbanding 60% hingga 62% pada 4QFY21 akibat cuti perayaan pada Februari 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, SLP juga berhadapan isu kekurangan tenaga kerja dan bagi mengatasi kebergantungan terhadap tenaga buruh, kumpulan itu akan menggunakan strategi sistem automasi dengan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM800,000 untuk FY22.
Mereka juga positif terhadap prospek masa hadapan SLP selepas mengambil kira kepelbagaian produk dalam segmen pembuatan, pengekalan margin keuntungan akibat purata harga jualan (ASP) yang tinggi untuk bahan mentah dan permintaan yang stabil.
"Bagaimanapun, firma itu kekal berhati-hati dengan margin pembuatan pada suku berikutnya dengan jangkaan kos pengeluaran lebih tinggi berikutan kenaikan kos tenaga pekerja dan utiliti.
"Selain itu gangguan rantaian bekalan global juga memberi kesan selain kedudukan kukuh dolar AS yang akan menjejaskan kuasa membeli pelanggan," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' untuk SLP dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.18.
"Kami mengekalkan penilaian kami bagi mencerminkan kadar penggunaan yang rendah akibat gangguan rantaian bekalan global yang menjejaskan keberkesanan kos," katanya.
#Kenanga Research #harga resin #SLP Resources Berhad #gangguan rantaian bekalan global
;