SKS Airways mula penerbangan sulung ke Pulau Pangkor hari ini

Umavathi Ramayah
Januari 26, 2022 16:51 MYT
Majlis pelepasan penerbangan SKS AIrways KI 6357 dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) disempurnakan Ka Siong. - Gambar SKS Airways
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan komersial terbaharu Malaysia, SKS Airways Sdn Bhd (SKS Airways) melancarkan penerbangan sulungnya ke Pulau Pangkor, pada Rabu.
Majlis pelepasan penerbangan SKS Airways KI 6357 dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) itu disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong tepat pukul 1.15 tengah hari Rabu.
Pengarah SKS Airways, Datuk Rohman Ahmad memberitahu, penerbangan pertama itu menandakan permulaan operasi syarikat penerbangan komersial itu yang menawarkan perkhidmatan penumpang, kargo dan charter.
"Pada masa yang sama, menerusi hab kami yang terletak di Subang dan Senai, Johor kami merancang untuk menghubungkan Malaysia ke destinasi-destnasi lain di ASEAN dan selatan China.
"Sebagai sebuah syarikat penerbangan baharu, kami aktif, tangkas dan fleksibel, serta berkemampuan memanfaatkan sebarang peluang yang wujud. Kami mengambil kesempatan untuk memenuhi permintaan perjalanan terpendam untuk perjalanan domestik dan bersiap sedia untuk perjalanan antarabangsa apabila dibuka semula," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
SKS Airways menawarkan akses mudah ke lawatan pulau-pulau dengan penerbangan bermula antara (LTSAAS) ke Pulau Pangkor mulai 26 Januari; (LTSAAS) ke Pulau Redang (31 Januari); ke Pulau Tioman dari (LTSAAS) dan Johor Bahru (suku kedua 2022).
Dengan pembukaan ketiga-tiga laluan ini, terdapat 12 penerbangan berjadual setiap hari dengan kapasiti harian penuh seramai 228 penumpang, katanya.
Katanya, SKS Airways menawarkan tambang tetap bermula dari RM160 sehala.
SKS Airways menggunakan sistem Tambang 3 Peringkat yang boleh dipilih oleh pengembara bergantung pada destinasi dan masa tempahan iaitu SKS PROMO, SKS LITE dan SKS PLUS.
#SKS Airways #penerbangan sulung #Pangkor #Senai
;