SKM saran kerajaan buka peluang koperasi sertai GLC
Astro Awani
April 24, 2021 12:58 MYT
April 24, 2021 12:58 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyarankan kerajaan mempertimbangkan keterbukaan ruang dan peluang kepada koperasi yang berkaliber dan layak untuk menyertai equiti dalam syarikat milik kerajaan (GLC).
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Nordin Salleh berkata, peluang itu dapat membantu kerajaan kembali meningkatkan ekonomi negara sekali gus mengatasi masalah penyusutan ekonomi ketika ini.
"SKM akan sentiasa membantu dan memberi galakan kepada koperasi yang berkelayakan untuk melabur dalam GLC bahkan menjadikan koperasi juara dan dikenali dalam sektor perniagaan.
"Koperasi perlu kompetitif dalam dunia pelaburan, apapun mesti berlandaskan polisi yang tegas dan SKM sentiasa tampil memberikan bantuan serts sokongan untuk membantu koperasi berjaya dalam sektor ekonomi dipelopori.
"Oleh itu, koperasi boleh dan digalakkan untuk mencari jalan melabur dalam badan perniagaan yang bersesuaian dari segi pelaburan terpulang pada pengurusan koperasi masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu jelas Nordin, pelancaran Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom) 2021-2025 berupaya menjadi pemacu kepada pembangunan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing.
"TransKom menjamin kelangsungan sektor koperasi negara sebagai penyumbang terbesar kepada peningkatan sosio-ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di negara ini.
"Transformasi ini adalah bertepatan dalam menjadi paksi transformasi kepada gerakan koperasi di Malaysia," ujarnya.
Pada Jumaat SKM mengadakan Sesi Ramah Mesra Bersama Media dan Penyampaian Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SKM.
Pada sesi yang sama SKM turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM5,000 masing-masing kepada lima wakil penerima terdiri daripada rumah anak yatim, Maahad Tahfiz dan NGO sebagai CSR.
Lima penerima itu adalah Rumah Tunas Harapan Tengku Ampuan Kuala Selangor, Maahad Tahfiz As- Salihin; Maahad Integrasi Tahfizul Quran An Nasr; Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim Rukaiyah dan Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampong Bharu.
#GERAKAN
#NGO
#GLC
#pelaburan
#SKM
#ekonomi
#Melayu
#Suruhanjaya Koperasi Malaysia
#Malaysia
#Perdana Menteri