SKM lulus bantuan RM246,000 menerusi Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi
Bernama
April 23, 2024 23:06 MYT
April 23, 2024 23:06 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan bantuan berjumlah RM246,000 menerusi Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) kepada Federasi Koperasi Pemborongan dan Peruncitan Malaysia Berhad.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata skop bantuan termasuk pembelian sebuah lori berkapasiti 7.5 tan berjumlah RM151,000 untuk kemudahan penghantaran barangan keperluan kepada rangkaian pusat pengedaran dan Coop Mart di Semenanjung Malaysia.
"Galakan yang diberikan diharap dapat membantu kerajaan dan rakyat dalam menangani cabaran kenaikan kos sara hidup melalui penguasaan rantaian bekalan secara menyeluruh melalui gerakan koperasi dengan menawarkan harga barangan keperluan asas yang lebih berpatutan dari pasaran semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di ibu pejabat SKM di sini hari ini.
Ramanan turut menyerahkan lori kepada federasi itu, sebagai usaha mengukuhkan peranan federasi sebagai Pusat Pengedaran Utama.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan ketua-ketua agensi di bawah KUSKOP serta gerakan koperasi.
Pada majlis itu, Ramanan turut melancarkan Podcast Oh! Gitu iaitu platform interaktif bual bicara yang akan mengupas persoalan di bawah ruang lingkup berkaitan ekosistem koperasi atau isu-isu semasa yang berlaku dalam gerakan koperasi.
Podcast Oh! Gitu ini akan mula bersiaran pada 10 Mei 2024 (Jumaat) secara berkala di media sosial SKM.
-- BERNAMA