Skim pembiayaan SME Bank terima anugerah, sokong usahawan teroka industri teknologi hijau
Haikal Raman
November 26, 2020 13:38 MYT
November 26, 2020 13:38 MYT
KUALA LUMPUR: SME Bank diiktiraf bagi anugerah khas Pembiayaan Tenaga Lestari, kategori Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dalam penganjuran Anugerah Tenaga Nasional (NEA) 2020, baru-baru ini.
Anugerah tersebut diperoleh menerusi skim bantuan pembiayaan SME Bank yang diperkenalkan institusi tersebut bagi menyokong projek teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai RM197 juta sejak tahun 2012 melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan pembiayaan sedia ada.
“Jumlah pembiayaan ini mencerminkan sokongan SME Bank dalam menyokong aspirasi kerajaan dan saya yakin bergerak ke hadapan, jumlah ini akan terus meningkat. Adalah menjadi harapan kerajaan untuk melihat lebih ramai usahawan meneroka bidang teknologi hijau.
“Pelbagai insentif dan dana diperuntukkan sebagai pemudahcara bagi membangunkan sektor Ekonomi Hijau antaranya dana bernilai RM2 bilion untuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 3.0 dan Bon Kelestarian pertama Malaysia seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Sementara itu, menurut Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, pihaknya sentiasa memastikan pembiayaan yang disalurkan dapat memberi nilai tambah bukan sahaja kepada pelanggan tetapi juga memberi manfaat terhadap alam sekitar dan juga rakyat.
“Pembiayaan yang disediakan adalah dalam bentuk modal kerja bagi projek-projek seperti bangunan pintar berteknologi hijau, ladang solar dan pemasangan sistem penjimatan tenaga dalam bangunan.
“Dengan adanya pembiayaan yang memenuhi keperluan perniagaan serta pelbagai program pembangunan usahawan yang dinamik, ia membolehkan kita melahirkan lebih ramai usahawan berinovasi tinggi,” ujarnya dalam kenyataan sama.
Dalam pada itu, SME Bank optimis bahawa penglibatan usahawan perusahaan kecil dan sederhana dalam industri teknologi hijau akan bertambah rancak berikutan permintaan yang semakin meningkat disokong pelbagai inisiatif daripada pihak kerajaan dan agensi terlibat.
Institusi Kewangan tersebut juga akan terus komited dalam menawarkan kemudahan pembiayaan lengkap bagi memacu pertumbuhan sektor PKS, khususnya bidang teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui seiring dengan perkembangan teknologi serta Revolusi Industri 4.0.
#PKS
#SMEBank
#BantuanPembiayaan
#IKP
#NEA2020
#IR4 0
#TeknologiHijau
#Peniagaan
#bisnes
#solar
#SkimPembiayaan
#Malaysia