Skim I-PUSH tanpa faedah akan bantu 2,500 usahawan mikro terjejas COVID-19 - MB Pahang

Mohd Zalani Md Atan
Mac 29, 2022 15:56 MYT
Wan Rosdy turut berkata setiap pemohonan akan dipermudahkan dan mereka yang di dalam senarai hitam juga akan dipertimbangkan.- Gambar fail
KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang hari ini menawarkan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) bertujuan membantu usahawan mikro yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata dengan peruntukan sebanyak RM20 juta, skim tanpa faedah itu dijangka akan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 2,500 usahawan mikro di negeri Pahang.
Wan Rosdy berkata warga Pahang boleh mula membuat permohonan skim itu secara atas talian mulai 1 sehingga 30 April.
“Kita menawarkan pinjaman antara RM3,000 ke RM10,000 bagi tempoh setahun pertama kita kenakan moratorium, tidak perlu ada apa-apa pembayaran.
“Selepas itu baru buat pembayaran. Jadi tujuannya adalah supaya mereka yang terkesan akibat pandemik akan dapat memulakan perniagaan mereka semula,” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Wan Rosdy turut berkata setiap pemohonan akan dipermudahkan dan mereka yang di dalam senarai hitam juga akan dipertimbangkan.
Tempoh pembayaran balik pembiayaan tanpa faedah ini adalah selama lima tahun termasuk satu tahun pertama moratorium.
Antara syarat-syarat kelayakan ialah berumur 18 tahun dan ke atas, bermastautin di Pahang melebihi 10 tahun dan telah menjalankan perniagaan melebihi setahun pada Mac 2021.
Pemohon juga mesti telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mempunyai lesen perniagaan atau permit sementara Pihak Berkuasa Tempatan, tidak bankrap dan dari kumpulan B40.
Keutamaan permohonan adalah kepada peniaga-peniaga yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan permohonan juga berdasarkan siapa yang dahulu berdaftar.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web smu.pahang.gov.my.
#I-PUSH #usahawan mikro #menteri besar pahang #Wan Rosdy Wan Ismail
;