Skandal ujian keselamatan: Daihatsu gantung semua pengeluaran domestik di Jepun
Bernama
Disember 26, 2023 15:48 MYT
Disember 26, 2023 15:48 MYT
TOKYO: Pengeluar automotif Jepun, Daihatsu Motor, menggantung semua pengeluaran domestik pada Selasa di tengah-tengah skandal berhubung pemalsuan ujian keselamatannya, lapor Xinhua.
Pembuat kereta itu pada Selasa menghentikan operasi di kilangnya di wilayah Osaka selepas menutup tiga kilang lain di wilayah Shiga, Kyoto dan Oita sehari sebelumnya menyebabkan pengeluaran domestik terhenti sepenuhnya.
Operasi di empat kilang itu dijangka terus digantung sekurang-kurangnya sehingga akhir Januari tahun depan, kata Daihatsu pada Isnin yang berjanji untuk memberi pampasan kepada semua syarikat yang menerima bekalan langsung daripadanya.
Minggu lepas, Daihatsu mengumumkan bahawa siasatan mendapati 174 kes salah laku baharu berhubung ujian keselamatan ke atas kenderaan baharu yang meliputi 64 model.
Pada April, pembuat kereta itu memperakui penipuan data dalam ujian perlanggaran bagi enam modelnya termasuk yang dijual di pasaran Thailand dan Malaysia.
Pada Mei, syarikat itu didapati memperoleh pensijilan kerajaan secara tidak wajar bagi kenderaan enjin hibrid untuk pasaran Jepun.
--BERNAMA-XINHUA