Siti Nurhaliza sasar SimplySiti capai jualan RM200 juta menjelang 2024

Dagang News
Jun 16, 2022 10:00 MYT
Azizan (tengah) menyaksikan penyerahan tag keahlian Titanium Premier-Partner (TPP) RichWorks International oleh Suley Nordyana kepada Siti Nurhaliza di Langkawi, 14 Jun 2022. - Foto DagangNews
LANGKAWI: Penyanyi No.1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin memeterai persetujuan menjadi Titanium Premier - Partner (TPP) RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) dalam usaha pemilik jenama SimplySiti itu merintis jualan sebanyak RM200 juta menjelang tahun 2024.
Penasihat dan Mentor Usahawan RichWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, keputusan tersebut dibuat dalam rangka transformasi serta memperkembangkan SimplySiti sebagai bisnes yang mapan hasil siri perbincangan pihak SimplySiti Sdn Bhd dengan Richworks sebelum ini.
“Tokti (Siti Nurhaliza) sebagai pengasas produk kosmetik, penjagaan kulit dan wangian, SimplySiti dilihat berpotensi besar untuk pergi lebih jauh lagi bila diberikan bimbingan secara lebih dekat.
"Malah dibantu untuk mendigitalkan strategi pemasaran dan meningkatkan pasaran SimplySiti bukan sahaja di Malaysia malah Indonesia dan negara Asia Barat.
"RichWorks juga melihat sokongan tambahan sebagai rakan niaga strategik di bawah anak syarikat kami, mampu membantu Tokti melonjakkan bisnes SimplySiti lebih jauh lagi dengan kepakaran dalam perundingan strategi pemasaran dan jenama.
"Sebagaimana kami membantu membina jenama seperti Sabella, Eskayvie, Hasnuri, Anggun Collection, Noir dan banyak lagi. SimplySiti berpotensi lebih lagi kerana ia diasaskan oleh seseorang yang mempunyai kekuatan jenama besar seperti Tokti.
"Terima kasih kepada Tokti dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) sebagai Pengerusi SimplySiti atas keyakinan kepada saya dan RichWorks berdasarkan keupayaan kami mentranformasi bisnes malah bangsa usahawan itu sendiri sejak 14 tahun lalu," katanya dalam sidang media di sini, Selasa lalu.
RichWorks diwakili Ketua Pegawai Operasi, Suley Nordyana Yahya manakala Tokti mewakili SimplySiti menandatangani persetujuan usaha sama rakan niaga dan penerimaan rasmi dibimbing sebagai Titan Premier - Partner sambil disaksikan Azizan.
Bersama Tokti dalam program sama ialah Pengasas Sabella, Siti Fatimah Abd Samad dan Mohd Sufian Sulaiman yang berjaya mentransformasi bisnes dari rumah hingga kini merekodkan jualan lebih RM100 juta setahun.
Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif RichWorks, Datuk Zafrol Rizal Mat; Ketua Pegawai Eksekutif SimplySiti, Aazief Khalid dan lebih 60 usahawan jutawan ahli Titanium Premier.
Dalam majlis sama, Yayasan Pesona diwakili Datuk Aznil Nawawi atau mesra disapa sebagai Pak Nil menerima watikah pelantikan daripada Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd sebagai rakan latihan bagi Pesona Leadership untuk usahawan jutawan di bawah bimbingan RichWorks.
Pak Nil akan menjalankan program khas itu pada Julai nanti dari segi aspek komunikasi, kejelasan dan keyakinan yang diperlukan seseorang pemimpin sesebuah organisasi.
'Titan Premier' merupakan tahap bimbingan eksklusif tertinggi di RichWorks, di mana ia hanya menerima usahawan jutawan yang komited membawa perniagaan mereka ke tahap jualan ratusan juta ringgit, pemimpin dalam industri masing-masing malah dikenal pasti berpotensi untuk ke tahap lebih tinggi di samping meluaskan pasaran.
Tambah Azizan, Tokti bakal mempunyai akses secara langsung serta sesi bimbingan bersamanya bagi mencapai sasaran SimplySiti yang lebih besar.
"RichWorks sebagai syarikat perundingan strategi pemasaran dan bisnes sejak 2008 hingga kini terbukti dalam transformasi bangsa usahawan untuk melangkah lebih jauh sesuai dengan tagline kami - Di Sini Lahirnya Usahawan Jutawan.
"Melalui komuniti Titanium Premier, Tokti juga akan berada dalam rangkaian usahawan jutawan kami yang positif, bahkan betul-betul komited dan serius untuk mengembangkan lagi bisnes," kata Azizan. - DagangNews.com
#simplysiti #Siti Nurhaliza #Azizan Osman #usahawan
;