Sistem persaraan Malaysia ketiga terbaik di Asia - Kajian

Najib Aroff
Oktober 19, 2021 13:59 MYT
Kajian indeks itu melibatkan 43 sistem pendapatan persaraan seluruh dunia yang menggunakan tiga sub indeks iaitu kecukupan, kelestarian dan integriti. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR:
Sistem persaraan Malaysia diiktiraf ketiga terbaik di Asia dan ke 23 di peringkat global, mengatasi Jepun dan Korea Selatan.
Bagaimanapun menurut Indeks Persaraan Global Tahunan Institut Mercer CFA ke 13 MCGPI, nilai indeks keseluruhan bagi Malaysia menurun sedikit kepada 59.6 berbanding 60.1 pada sebelumnya.
Kajian indeks itu melibatkan 43 sistem pendapatan persaraan seluruh dunia yang menggunakan tiga sub indeks iaitu kecukupan, kelestarian dan integriti.
Malaysia merekodkan penambahbaikan dalam sub indeks kecukupan dengan skor 50.6 tahun ini, manakala sub indeks integriti terus tinggi pada 76.8 dan kelestarian 57.5.
Sementara itu Malaysia menduduki tempat ke 15 dalam sub indeks kelestarian yang mengukur kemungkinan tahap kemampuan menyediakan faedah di masa depan.
Manakala dari segi sub indeks integriti Malaysia menduduki tempat ke 20 yang mana faktor yang menjejaskan keyakinan penduduk dalam sistem persaraan diambil kira.
Bagi sub indeks kecukupan pula Malaysia menduduki tempat ke 34 yang mengukur bagaimana sistem persaraan dengan faedah mencukupi.
"Sangat mengujakan apabila Malaysia mendapat skor lebih tinggi berbanding purata negara Asia dalam setiap sub indeks tersebut.
"Memandangkan jangka hayat semakin meningkat, kerajaan boleh melihat cara meningkatkan had sokongan minimum bagi pesaraan termiskin dan juga kadar penyertaan tenaga buruh terutama bagi yang berusia.
"Jika Malayisa boleh meningkatkan had simpanan isi rumah dan menurunkan hutang isi rumah, ia akan melonjakan sub indeks kecukupan, kelestarian dan akhirnya keseluruhan nilai indeks dalam sistem persaraan," kata Ketua Kekayaan Mercer India, Janet Li dalam satu kenyataan.
Sementara itu penarafan Malaysia menurun kepada 'C minus' berbanding 'C plus'' tahun ini.
Ia mengambarkan sistem persaraan negara mempunyai fungsi yang bagus namun beberapa kelemahan harus diatasi segera.
#MERCER #Indeks Persaraan #pencen #KWSP
;