Sistem perbankan Malaysia kekalkan kedudukan mudah tunai yang sihat - BNM

Bernama
Januari 31, 2025 18:16 MYT
Bank pusat berkata agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya stabil pada 83.5 peratus (November 2024: 83.8 peratus). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sistem perbankan Malaysia terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai (LCR) sebanyak 160.7 peratus, naik daripada 147.9 peratus pada November, menyokong pengantaraan kewangan yang berterusan, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam laporan Sorotan Bulanan Disember 2024 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat berkata agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya stabil pada 83.5 peratus (November 2024: 83.8 peratus).
"Ketahanan sistem perbankan terus disokong oleh kualiti aset yang kukuh, dengan nisbah pinjaman terjejas kasar keseluruhan bertambah baik kepada 1.4 peratus daripada 1.5 peratus pada November, manakala nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil pada 0.9 peratus," kata BNM.
Laporan itu juga menekankan nisbah perlindungan kerugian pinjaman, termasuk rizab pengawalseliaan terus berada pada tahap berhemat sebanyak 129.1 peratus daripada pinjaman terjejas, meningkat daripada 128.0 peratus pada November 2024.
Menurut bank pusat, peningkatan yang lebih tinggi dalam LCR disebabkan oleh penurunan dalam jangkaan aliran keluar tunai apabila tempoh matang pinjaman antara bank dilanjutkan kepada lebih 30 hari.
"Ini selaras dengan langkah-langkah awal bank untuk membina penampan sebagai persediaan menghadapi musim persaingan deposit akhir tahun," katanya.
Sementara itu, BNM berkata pada Disember, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masingmenurun kepada 1.7 peratus (November 2024: 1.8 peratus) dan 1.6 peratus (November 2024: 1.8 peratus). Purata inflasi keseluruhan dan inflasi teras adalah 1.8 peratus pada 2024.
Ia berkata Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (IOWRT) berkembang sebanyak 3.9 peratus pada November 2024 (Oktober 2024: 5.1 peratus).
Bank pusat berkata kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.2 peratus(November 2024: 5.4 peratus) berikutan pertumbuhan yang sederhana bagi pinjaman perniagaan terkumpul (5.1 peratus; November 2024: 5.4 peratus) dan bon korporat (3.4 peratus; November 2024: 3.8 peratus).
BNM berkata pasaran kewangan sebahagian besarnya dipengaruhi oleh jangkaan bahawa pelonggaran yang lebih beransur-ansur terhadap dasar monetari Amerika Syarikat (AS) pada 2025, di tengah-tengah semakan menaik dalam unjuran pertumbuhan dan inflasi Rizab Persekutuan AS.
"Selain itu, ketidakpastian yang timbul daripada kemungkinan dasar perdagangan olehpentadbiran AS terus mempengaruhi sentimen risiko pelabur," tambahnya.
-- BERNAMA
#sistem perbankan #penampan mudah tunai #BNM #kewangan #kualiti aset
;