Sistem penyimpanan senjata api pintar ciptaan syarikat Malaysia diguna polis Singapura
Dagang News
Januari 15, 2024 21:32 MYT
Januari 15, 2024 21:32 MYT
KUALA LUMPUR: Sistem penyimpanan senjata api pintar (SWS) yang dibangunkan sebuah syarikat tempatan, SWS Inntech Sdn. Bhd. (SWS Inntech) berjaya menembusi pasaran luar apabila digunakan beberapa negara serantau.
SWS menggunakan teknologi pintar teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan biometrik untuk menyimpan dan pengurusan senjata api.
Menggunakan pengurusan pintar sistem ini, semua urusan membabitkan mengambil, merekod dan memulangkan senjata api diurus dan dipantau secara sistematik.
Setiap rak simpanan yang berbentuk seperti kabinet fail ini boleh menyimpan sama ada 30 pucuk pistol atau 10 laras raifal.
Syarikat yang terletak di Kelana Jaya, Selangor itu telah membangunkan teknologi tersebut sejak tahun 2008.
Ini menunjukkan kelengkapan dan perisian yang 100% dibangunkan oleh syarikat tempatan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Pengarah Eksekutif SWS Inntech, Lew Yuan Huai berkata, pihaknya telah berjaya menyempurnakan penghantaran sistem tersebut kepada pelanggannya di rantau ini.
"Pelanggan yang berkaitan telah mula menggunakan sistem tersebut mengikut sepertimana spesifikasi yang ditetapkan.
“Ini sekali gus memberi suntikan dan galakkan kepada kami yang berjaya mendapatkan pesanan eksport. Penggunaan sistem penyimpanan senjata api pintar ini lebih selamat dan teratur.
“Kejayaan ini membuktikan teknologi buatan Malaysia setanding serta diiktiraf,” ujarnya.
Jelas beliau, sistem SWS yang dibangunkan syarikat itu telah diiktiraf pelanggan antarabangsa termasuk Pasukan Polis Singapura (SAF).
Katanya, pihak SAF memilih sistem penyimpanan senjata api tersebut yang dinamakan sebagai Automated Armoury System (AAS).
“Sistem itu menggunakan pengenalan RFID dan teknologi pengesahan dua faktor (2FA) untuk membolehkan anggota polis mengambil dan memulangkan senjata api sendiri.
“Kaedah ini mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja bagi sesebuah balai polis,” kata Yuan Huai.
Teknologi SWS ini juga pernah dipertontonkan semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 di Kuala Lumpur.
Ia dilihat lebih efisien berbanding kaedah sedia ada digunakan pihak polis, tentera atau agensi keselamatan lain yang merekodkan urusan mengambil dan menyerah senjata api menggunakan buku. - Dagang News