Sistem Kesihatan KPJ bukti transformasi berasaskan nilai - Dr Dzulkefly
Khalis Khadir
Oktober 27, 2024 13:10 MYT
Oktober 27, 2024 13:10 MYT
KUALA LUMPUR: Sistem Kesihatan KPJ yang dilancarkan pada Sabtu adalah simbol transformasi kepada landskap sektor kesihatan negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, model bersepadu itu bermanfaat dalam menguruskan keperluan penjagaan kesihatan dengan berasaskan nilai.
“Sistem ini mencipta model penjagaan kesihatan berasaskan nilai. Ini bermakna ia beralih dari model fee-for-service tradisional kepada satu modul yang mempromosi penyampaian tadbir urus lebih efektif,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan sistem berkenaan semasa Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024, di sini, pada Sabtu.
Dr Dzulkefly menambah, pendekatan itu lebih adil kerana ia menekankan hasil kepada tahap kesihatan pesakit, bukan berdasarkan jumlah perkhidmatan yang diberi.
Dr Dzulkefly turut menyambut baik kerjasama antara hospital dan institusi penyelidikan seperti diusahakan KPJ Healthcare mampu menjadikan Malaysia antara pelopor dalam landskap penjagaan kesihatan Asia Tenggara.
“Langkah memajukan pendidikan dan penyelidikan perubatan melalui kerjasama antara KPJ dan Universiti KPJ dapat berikan kita fokus pada kesihatan populasi, penyelidikan perubatan dan pembangunan profesional penjagaan kesihatan,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berharap, sistem berkenaan bukan hanya menawar perkhidmatan klinikal tetapi memberikan khazanah ilmu perubatan melalui kualiti penyelidikan.
“Seperti yang anda tahu, hari ini di Malaysia kita memang kekurangan pakar. Berdasarkan populasi rakyat kita sekitar 34 juta, kita memerlukan hampir 19,000 pakar tapi kini hanya ada lebih kurang 10,000.
“Maka dengan menggabungkan perkhidmatan klinikal yang kini kita sediakan bersama dengan Universiti KPJ membolehkan kita terlibat dalam pendidikan dan menghasilkan satu inovasi dalam sektor ini,” ujarnya.
Rentetan itu, KPJ Healthcare komited untuk meneruskan pelaburan dengan jumlah lebih besar bagi menjamin penghasilan penyelidikan dan menyediakan inovasi terbaik.