Singapura beri ingatan mengenai pelaburan mata wang kripto

Bernama
Disember 20, 2017 09:26 MYT
MAS berkata, disebabkan kebanyakan pengendali platform di mana mata wang kripto didagangkan tidak berada di Singapura, sukar untuk mengesah kesahihan atau kredibiliti mereka. - REUTERS/Fail
Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) telah menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dan memahami risiko tinggi yang dihadapi jika mereka memilih untuk melabur dalam mata wang kripto.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, MAS berkata, ia khuatir orang ramai mungkin tertarik untuk melabur dalam mata wang kripto seperti Bitcoin, disebabkan kenaikan mendadak dalam harga mereka baru-baru ini.
"Mata wang kripto tidak sah diperlakukan. Mereka tidak dikeluarkan oleh mana-mana kerajaan dan tidak disokong oleh mana-mana aset atau pengeluar," katanya.
MAS menganggap lonjakan baru-baru ini dalam harga mata wang kripto didorong oleh spekulasi.
BACA: Bitcoin falls more than 10 percent on Bitstamp
"Risiko kejatuhan mendadak harga adalah tinggi. Pelabur dalam mata wang kripto harus sedar bahawa mereka menghadapi risiko kehilangan semua modal mereka. Tiada perlindungan kawal selia untuk pelaburan dalam mata wang kripto," katanya.
Seperti kebanyakan bidang kuasa, MAS berkata, ia tidak mengawal selia mata wang kripto.
Ia berkata, peraturannya tidak diperluaskan kepada keselamatan dan kekukuhan perantara mata wang kripto atau pemprosesan urus niaga mata wang kripto yang sepatutnya.
MAS berkata, disebabkan kebanyakan pengendali platform di mana mata wang kripto didagangkan tidak berada di Singapura, sukar untuk mengesah kesahihan atau kredibiliti mereka.
Untuk maklumat lanjut mengenai mata wang kripto dan pelaburan mata wang kripto, orang ramai boleh merujuk kepada peringatan pengguna MoneySENSE, katanya.
"Mata wang kripto adalah satu bentuk token digital yang dijamin oleh kriptografi dan biasanya digunakan sebagai medium pertukaran, unit akaun atau penyimpan nilai. Contoh mata wang kripto ialah Bitcoin, Ether dan Litecoin," katanya. -- Bernama
#Bitcoin #Bitcoin trading #cryptocurrency singapore #cyptocurrency #ether #litecoin #money authority singapore
;