Sime Darby Property Bhd optimis mampu capai sasaran jualan RM2.6 bilion bagi tahun kewangan 2022

Fareez Azman
Mei 25, 2022 19:14 MYT
Sasaran itu dipacu dengan kemampuan jualan, strategi baharu dan kadar faedah rendah dalam pasaran.
KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Berhad optimis mampu mencapai sasaran jualan RM2.6 billion bagi tahun kewangan 2022.
Demikian jelas Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Azmir Merican, dalam taklimat media mengenai suku pertama tahun kewangan 2022 Sime Darby Property secara dalam talian pada Rabu.
Jelasnya, sasaran itu dipacu dengan kemampuan jualan, strategi baharu dan kadar faedah rendah dalam pasaran.
Bagi suku pertama tahun kewangan 2022, Sime Darby Property jelasnya, berjaya mencapai hasil jualan RM900 juta sekali gus memberi indikasi produk yang kompetitif dalam pasaran.
"Kita akan terus mencatatkan prestasi yang baik kerana kami melihat jualan tidak dibilkan melebihi hasil pembangunan hartanah sejak suku ketiga tahun kewangan 2021, sambil menjangkakan kadar pengambilan yang menggalakkan berterusan dari tahun kewangan 2021 hingga tahun ini," jelasnya.
Sime Darby Property jelasnya, dijangka melancarkan 3,976 unit bernilai RM2.8 billion dalam Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bagu tahun kewangan semasa.
Ia terdiri daripada 82 peratus unit tanah kediaman dan bertingkat tinggi dan 16 peratus unit perindustrian.
Kumpulan itu turut melancarkan produk bernilai RM383.5 juta pada suku pertama dengan rancangan untuk melancarkan 1,007 unit dengan GDV RM803.4 juta pada suku kedua.
#sime darby property bhd #hartanah #Tahun kewangan 2022
;