Sime Darby Plantation akan peroleh buah tandan segar mampan daripada pekebun kecil

Bernama
November 29, 2022 04:40 MYT
Sime Darby Plantation Bhd akan memperoleh tandan buah segar (BTS) yang diperakui mampan daripada sekumpulan pengeluar kecil di Pulau Carey, Selangor selama dua tahun. -Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd (SDP) akan memperoleh tandan buah segar (BTS) yang diperakui mampan daripada sekumpulan pengeluar kecil di Pulau Carey, Selangor selama dua tahun.
Pengeluar kecil termasuk beberapa petani daripada suku Mah Meri (Orang Asli) yang menetap di pulau itu diwakili sebuah syarikat, Intan Hebat Baru Sdn Bhd (Intan Hebat) dan mereka diperakui di bawah skim minyak sawit mampan yang dianjurkan oleh perusahaan sosial, Wild Asia Sdn Bhd.
Skim tersebut dikenali sebagai Skim Kumpulan Wild Asia (WAGS), ia adalah sistem pengurusan yang diasaskan pada 2013 untuk menyediakan sokongan teknikal dan pengurusan kepada pekebun kecil supaya produk mereka diperakui secara bebas.
Ia juga membantu menambah baik amalan pertanian pekebun kecil dan menyokong mereka dengan memenuhi piawaian kemampanan wajib seiring dengan yang ditetapkan oleh Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) serta skim pensijilan sukarela Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari supaya mereka boleh mengambil bahagian dalam global rantaian nilai minyak sawit mampan.
"Pekebun kecil adalah bahagian penting dalam pengeluaran minyak sawit global, ia menyumbang kira-kira 40 peratus daripada bekalan dunia.
"Oleh itu, inisiatif yang boleh membantu meningkatkan penyertaan mereka dalam rantaian bekalan mampan harus disokong oleh pemain yang lebih besar dalam industri dengan kelayakan yang betul," kata Ketua Pegawai Kemampanan SDP Rashyid Redza Anwarudin dalam satu kenyataan.
Pengeluar kecil diklasifikasikan sebagai pekebun kecil dengan jumlah keluasan ladang kurang daripada 40 hektar manakala pekebun kecil adalah mereka yang mempunyai jumlah keluasan ladang lebih daripada 41 hektar dan kurang daripada 500 hektar.
Di bawah perjanjian tiga pihak, ketiga-tiga pihak juga komited untuk bersama-sama memastikan kebolehkesanan minyak sawit yang dihasilkan oleh pengeluar kecil bebas.
Dengan memperoleh BTS daripada pengeluar kecil yang diperakui WAGS pada premium yang dipersetujui, SDP akan menyokong dan mempromosikan kemasukan mereka ke dalam rantaian bekalannya yang mampan manakala Intan Hebat pula akan memastikan kebolehkesanan yang jelas BTS dari ladang ke kilang SDP.
-- BERNAMA
#Skim Kumpulan Wild Asia #Sime Darby Plantation #Minyak Sawit Mampan Malaysia #Pulau Carey
;