Sime Darby lanjut hingga 31 Jan untuk pemegang saham UMW Holdings terima tawaran RM5

Dagang News
Januari 15, 2024 10:30 MYT
Kenanga Investment Bank pada 8 Jan menyarankan pemegang saham supaya menerima tawaran saham RM5, menganggapnya tidak adil tetapi munasabah. - Foto DagangNews
KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd, melalui Sime Darby Enterprise Sdn Bhd, telah melanjutkan masa tutup penerimaan tawaran kepada pemegang saham untuk membeli saham dalam UMW Holdings Bhd pada harga RM5, kepada 5 petang, 31 Januari 2024.
Tempoh tawaran asalnya tamat pada 17 Januari 2024.
CIMB Investment Bank Bhd, bagi pihak Sime Darby, berkata tahap penerimaan tawarannya setakat 5 petang Jumaat lepas, berada pada 94.15% daripada jumlah saham UMW yang diterbitkan.
Dalam nota nasihat bebas oleh Kenanga Investment Bank pada 8 Januari 2024 menyarankan pemegang saham supaya menerima tawaran saham RM5, menganggapnya tidak adil tetapi munasabah.
Tawaran itu dianggap tidak adil kerana harga tawaran adalah diskaun sebanyak 10.84% hingga 16.90% kepada nilai anggaran antara RM5.608 dan RM6.017 setiap saham UMW.
Tetapi, tawaran tersebut dianggap munasabah kerana ia masih merupakan premium daripada harga pasaran dagangan terakhir saham UMW sejak perjanjian itu diumumkan; Rancangan Sime Darby untuk menyahsenarai UMW Holdings dan tiada tawaran bersaing untuk UMW Holdings. - DagangNews.com
#Sime Darby #UMW Holdings #saham #CIMB Investment Bank
;