Sime Darby, Cenergi RE tandatangani perjanjian bagi perkhidmatan penyelenggaraan genset biogas
Dagang News
November 9, 2021 09:01 MYT
November 9, 2021 09:01 MYT
KUALA LUMPUR: Bahagian perindustrian Sime Darby Bhd telah menandatangani perjanjian perkhidmatan penyelenggaraan dengan Cenergi RE Sdn Bhd, milik Cenergi SEA Bhd yang merupakan anak syarikat Khazanah Nasional Bhd.
Dalam satu kenyataan bersama, Cenergi dan konglomerat itu berkata Sime Darby Industrial Sdn Bhd (SDISB) akan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan untuk genset biogas Caterpillar Cenergi yang dipasang di loji janakuasa biogas Cenergi di pelbagai lokasi di Malaysia.
Pengarah Urusan SDISB CK Teoh berkata, genset gas Caterpillar yang ditawarkannya dilengkapi untuk menggunakan bahan api biogas, menghasilkan antara 70kW dan 3,770kW dalam satu penjana.
“Ia direka untuk mengurangkan penggunaan bahan api dengan ketara, mengurangkan jejak karbon dan sisa sambil memaksimumkan pulangan pelaburan untuk pelanggan kami.
“Kerjasama strategik kami dengan Cenergi telah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan kami teruja untuk membawa perkongsian kami ke peringkat seterusnya,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi Bhd Hairol Azizi Tajudin berkata perjanjian perkhidmatan penyelenggaraan itu yang berkuat kuasa dari November 2021 hingga akhir 2026, adalah sebahagian daripada inisiatif berhemat Cenergi untuk mengoptimumkan kos penyelenggaraan bagi populasi genset biogas Caterpillar yang semakin meningkat dalam portfolio aset loji janakuasa biogas Cenergi .
Cenergi ialah syarikat penyelesaian tenaga mampan yang mengkhusus dalam mengurangkan pelepasan karbon. Ia merupakan pemaju loji janakuasa biogas kilang kelapa sawit (POME) bersambung grid terbesar di Malaysia.
Sehingga kini, Cenergi mempunyai 10 loji janakuasa biogas yang beroperasi di seluruh Malaysia dan Indonesia.
*Berita asal di DagangNews.com