Sime Darby ambil alih 61.2% pegangan dalam UMW berharga RM3.57 bilion, bentuk gergasi permotoran baharu

Dagang News
Ogos 24, 2023 16:23 MYT
Ia merupakan langkah strategik untuk meningkatkan lagi dan mengukuhkan kehadiran kami dalam sektor automotif Malaysia, menambah dua jenama berprestasi tinggi ke dalam portfolio Malaysia ,Toyota dan Perodua. - Gambar fail
SIME Darby Berhad mengambil alih 61.18% kepentingan ekuiti dalam UMW Holdings Berhad daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanahraya Trustees Berhad pada RM5 sesaham atau RM3.57 bilion.
Harga itu adalah premium 19% kepada aset ketara bersih (NTA) sesaham RM3.73 pada 31 Mac, dan premium 13% kepada harga dagangan terakhirnya sebanyak RM4.62 Setelah selesai cadangan pengambilalihan itu, pegangan saham Sime Darby Enterprise Sdn. Bhd. (SDESB) milik penuh tidak langsung Sime Darby dalam UMW akan meningkat kepada 61.18%.
SDESB akan diwajibkan untuk melanjutkan tawaran pengambilalihan mandatori untuk memperoleh semua baki saham UMW yang belum dimiliki oleh SDESB, Sime Darby dan orang yang bertindak bersama mereka pada harga tawaran tunai RM5 setiap saham.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, ia merupakan langkah strategik untuk meningkatkan lagi dan mengukuhkan kehadiran kami dalam sektor automotif Malaysia, menambah dua jenama berprestasi tinggi ke dalam portfolio Malaysia ,Toyota dan Perodua.
Beliau berkata, perjanjian itu akan mengukuhkan kedudukan Sime Darby sebagai pemain automotif terkemuka Malaysia. "Sebagai rakan kongsi pilihan kepada beberapa jenama yang paling dikagumi dalam sektor automotif, kami sangat teruja untuk berpeluang bekerjasama dengan Toyota, salah satu pengeluar kereta terbesar dan paling dihormati di dunia," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Sime Darby menjangkakan pengambilalihan itu akan selesai dalam tempoh tiga bulan dari tarikh perjanjian tetapi tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan pemegang saham serta syarat penutupan biasa.
Sementara itu, PNB dalam satu kenyataan mengesahkan penggabungan UMW dan Sime Darby selepas syarikat multinasional Malaysia itu menandatangani perjanjian pembelian bersyarat bagi mengambil alih kepentingan mereka dalam Kumpulan UMW.
Penggabungan itu didorong oleh peluang untuk mengukuhkan kehadiran dalam sektor automotif di peringkat tempatan dan serantau selain untuk merangsang agenda elektrifikasi, yang dijangka memacu pertumbuhan pelaburan, meningkatkan kecekapan, dan mencipta nilai untuk pemegang saham.
"Langkah strategik ini juga adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 oleh kerajaan, yang akan menyokong pertumbuhan selanjutnya sektor automotif terutamanya dalam meletakkan kedudukan negara sebagai hab automotif bagi rantau ini," katanya. - DagangNews.com
#Sime Darby Berhad #Permodalan Nasional Berhad #AmanahRaya Trustees Berhad #Jeffri Salim Davidson
;