Sihat Kredit Malaysia Inisiatif kelolaan SEDIMI dan CTOS sasar galak lebih ramai milik rumah

Dagang News
Jun 9, 2022 13:25 MYT
Aplikasi Sihat Kredit Malaysia Inisiatif (SKMI) membolehkan pengguna mendapatkan maklumat lebih tepat mengenai status kewangan mereka sekali gus mengalakkan lebih ramai Anak Malaysia yang mampu memiliki rumah pertama. - Foto DagangNews.com
PUTRAJAYA: Aplikasi Sihat Kredit Malaysia Inisiatif (SKMI) membolehkan pengguna mendapatkan maklumat lebih tepat mengenai status kewangan mereka sekali gus boleh mengalakkan lebih ramai Anak Malaysia yang mampu memiliki rumah pertama di negara ini.
SKMI adalah inisiatif sulung SEDIMI Capital dan CTOS Data Systems Sdn Bhd. merupakan program inisiatif perunding penasihat untuk mengurus kewangan yang boleh disertai oleh rakyat Malaysia kecuali yang mempunyai status bankrap.
Ketua Pegawai Eksekutif SEDIMI, Max EE berkata, sebagai permulaan, SKMI menyasarkan sekurang-kurangnya 100,000 anak muda untuk dibantu.
"SKMI merupakan Inisiatif yang bertujuan untuk memeriksa kredit skor seseorang agar pemohon boleh mendapatkan kefahaman yang lebih teliti dan mendalam," kata beliau pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SEDIMI 2022 di sebuah hotel sini.
Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Muttalib selaku Tetamu kehormat, selain Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Syed Amir Abidin Jamalullail.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems Sdn Bhd, Eric Chin berkata, CTOS amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada program SKMI bersama SEDIMI kerana ia seiring dengan matlamat tanggungjawab sosial korporat pihaknya untuk memacu pemerkasaan kewangan melalui pengetahuan dan kesedaran.
"SKMI adalah inisitif yang baik bagaimana sektor swasta boleh berganding bahu bagi menyokong agenda kerajaan untuk mempergiatkan pendidikan pengurusan kewangan serta meningkatkan tahap celik kewangan untuk semua.
"Usaha bersama ini akan membantu untuk melengkapkan warga muda Malaysia dengan pengetahuan kewangan yang lebih baik bagi membolehkan mereka memiliki rumah pertama mereka,” katanya.
Dalam ucapannya, Ismail berkata, Inisiatif SKMI adalah selari dengan usaha kerajaan dalam memacu negara kepada status berpendapatan tinggi.
"Inisiatif yang diusahakan oleh kerajaan tidak akan dapat direalisasikan hanya sekadar lontaran idea dan pendapat sahaja.
"Dasar yang baik perlu pelaksanaan yang rapi, dijalankan dengan baik dan dipantau secara dekat kemajuannya.
"Ia perlu kepada semangat dan dedikasi penggemblengan tenaga seluruh lapisan masyarakat termasuk di peringkat kementerian sendiri mahupun sektor swasta," ujar beliau.
Pada majlis sama, Datuk Seri Ismail bersama-sama Max EE dan Eric Chin juga tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan tetamu yang hadir dan memberikan sumbangan duit raya kepada 30 Anak-Anak Yatim daripada Rumah Amal Family of Charity.
#Malaysia #pengurusan kewangan #CTOS #beli rumah
;