Sidec lancar Twin Accelerator 2024, lonjak PKS dan syarikat pemula Selangor ke pentas global

Israr Khalid
September 12, 2024 09:30 MYT
Amirudin, Gobind Singh dan Kai Ping bersama para mentor program Twin Accelerator 2024. - Foto Sidec
KUALA LUMPUR: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) melancarkan program Twin Accelerator 2024 yang merangkumi kohort ketujuh Program Pemecut Selangor (SAP24) dan kohort kedua Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX24).
50 syarikat pemula yang memberi tumpuan kepada Kecerdasan Buatan (AI), Mobiliti Pintar, Penyelesaian Berasaskan Bio, dan Sifat Bersih terpilih untuk SAP24, sementara 50 PKS berkenaan Makanan dan Minuman (F&B), Gaya Hidup dan Peralatan Rumah, Fesyen, Kesihatan, Kecantikan dan Kesejahteraan, serta Kesan Sosial disenarai pendek untuk ECX24.
Program pemecut ini, yang bermula sejak tujuh tahun yang lalu, bermatlamat untuk mengukuhkan ekosistem PKS dan syarikat pemula di Selangor dengan visi untuk melahirkan syarikat bernilai jutaan ringgit (unicorn) yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor.
Menerima 550 permohonan untuk program SAP24 dan ECX24, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping, ini menunjukkan minat dan semangat tinggi para usahawan tempatan sekali gus mencerminkan pengiktirafan Selangor sebagai hab inovasi dan pembangunan perniagaan.
"Proses pemilihan kami yang teliti bertujuan untuk memberi sokongan kepada usahawan berimpak tinggi dalam membangunkan syarikat berpotensi besar.
“Tumpuan utama adalah untuk mengenal pasti bakat yang menjanjikan serta perniagaan inovatif yang berupaya berkembang pesat dan menyumbang dengan signifikan kepada ekonomi, sekaligus menjadikan Selangor sebagai peneraju di pasaran global," katanya.
Majlis perasmian yang berlangsung di Asia School of Business (ASB Academics, Kuala Lumpur disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bersama Menteri Digital Gobind Singh Deo, diiringi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Engeri Selangor (Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti) Ng Sze Han, dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin.
ECX24 menawarkan program selama 4 bulan dengan modul komprehensif merangkumi bengkel perniagaan dan kursus pitching dengan tumpuan pada bidang utama seperti kecerdasan buatan (AI) dalam e-dagang, penjenamaan, strategi pertumbuhan, perkembangan rentas sempadan, analitik data, dan pengurusan kewangan.
Kursus ini melatih peserta untuk memperhalusi kemahiran ‘pitching’, menghasilkan pitch deck yang efektif, berhubung dengan pelabur, dan mengasah kemahiran ‘pitching’ mereka.
Sesi bimbingan ECX24 turut menampilkan pemimpin industri, antaranya merupakan alumni daripada program pemecut ini, seperti Carsome, ZUS Coffee, Secret Recipe, dan The Lego Group yang akan berkongsi kepakaran, menyediakan peserta dengan pengetahuan penting dan strategi berkesan untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam era digital.
Pemenang ECX24 akan membawa pulang pelbagai anugerah, antaranya trofi, sijil, wang tunai, dan peluang pelaburan menarik, juga berpeluang menyertai program istimewa oleh ByteDance TikTok di Shanghai, China, yang menawarkan akses ke pasaran global, peluang rangkaian dengan pemimpin industri, dan pandangan strategik mengenai trend e-dagang serta pemasaran digital.
Selain itu juga, 10 pemenang teratas akan menerima 30,000 kredit daripada Pos Malaysia, dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM300,000.
Sementara SAP24 pula disasarkan untuk mempercepatkan pertumbuhan syarikat pemula teknologi di Malaysia, di mana peserta akan menerima bimbingan, peluang jaringan, dan bengkel, membolehkan mereka mencapai tahap pelaburan dan pengembangan yang lebih tinggi.
Selain itu, mereka akan menikmati manfaat seperti perkhidmatan awan, keahlian Kelab CXO, serta peluang untuk mempamerkan produk di Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor ke-9.
Mereka juga akan mendapat akses ke tempat ruang kerja fleksibel di Selangor Sandbox 2, promosi kepada pangkalan data Sidec, penilaian nilai, dan peluang kerjasama dengan Selangor Lab.
Tahun ini SAP24 memperkenalkan program lawatan antarabangsa eksklusif selama lebih dua minggu untuk peserta terpilih, untuk bergading rapat dengan program pemecut setempat dengan fokus yang disesuaikan mengikut vertikal perniagaan masing-masing.
Sejak pelancarannya, SAP telah menyokong perkembangan 190 syarikat pemula, antaranya Nexmind AI, Seed Dream, Borong (juga dikenali sebagai Dropee), GFI Fintech, Entomal, dan banyak lagi.
Syarikat rakan kongsi yang mapan akan menyediakan sokongan yang lebih sistematik serta bimbingan khusus industri, memastikan setiap peserta memaksimumkan manfaat dari pengalaman mendalam ini.
Selain itu, Sidec bertekad untuk memperkukuhkan ekosistem PKS dan syarikat pemula di Selangor, dengan misi menyokong lebih daripada 300 usahawan dalam tempoh lima tahun.
Sementara itu, Kai Ping turut memberitahu bahawa Sidec akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Pusat untuk mengembangkan program ini secara rasminya kepada negeri-negeri lain.
Usaha ini memfokuskan pada pemupukan inovasi serta memberi sokongan kepada perniagaan berpotensi tinggi bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan transformasi digital di rantau ini.
“Dengan harapan, ini akan menjadi satu program nasional.
“Kami sudah punyai pengalaman menjayakannya sejak tujuh tahun lalu, kami juga ada pasukan yang besar serta telah membina rangkaian mentor dan luar negara yang luas, jadi kita mahu kongsikannya dengan negeri lain juga.”
Untuk maklumat lanjut mengenai ECX24 dan SAP24, layari www.sidec.com.my.
Twin Accelerator 2024 dilancar, perkasa PKS & syarikat pemula Selangor
#SIDEC #Twin Accelerator #SAP24 #ECX24 #Selangor
;