SIDEC akan pilih 10 syarikat pemula niaga untuk wakili Malaysia di Amerika Syarikat

Bernama
Februari 15, 2023 11:30 MYT
Yong (kiri) hadir pada pelancaran Ruang Kerja Selangor Sandbox oleh Duta Besar AS ke Malaysia Brian D Mc Feeters (dua, kiri) ketika Sesi Libat Urus antara SIDEC dan Kedutaan AS di Malaysia, di Shah Alam, 14 Feb 2023. --fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) akan memilih 10 syarikat permulaan teknologi terbaik untuk mewakili Malaysia pada pameran di Lembah Silikon dan Washington DC, Amerika Syarikat (AS), April depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping, berkata 10 syarikat baharu itu akan dipilih di bawah Pitch Malaysia USA Series 2023, program kemuncak oleh SIDEC untuk menonjolkan syarikat baharu dari Malaysia yang berpotensi supaya mendapat perhatian pelabur global.
"The Pitch Malaysia USA Series yang akan diadakan dari 25 April hingga 3 Mei ini adalah platform bagi syarikat baharu tempatan untuk mempamerkan dan mengembangkan potensi perniagaan mereka ke pasaran AS," katanya pada sesi taklimat program tersebut di sini semalam.
Yong berkata syarikat pemula niaga dari semua negeri boleh menghantar permohonan mereka dari 20 Februari hingga 10 Mac dan 10 syarikat permulaan yang dipilih akan diumumkan pada 16 Mac.
Beliau berkata kriteria syarikat yang memohon Pitch Malaysia termasuk diperbadankan kurang daripada 10 tahun; mengumpul US$500,000 daripada firma kapitalis teroka atau pelabur institusi; menjana sekurang-kurangnya US$1 juta hasil dalam tempoh 12 bulan yang lalu dan membangunkan teknologi, produk atau perkhidmatan baharu, menyediakan inovasi yang mengganggu serta meningkatkan pasaran baharu.
"Butiran permohonan lain akan diumumkan kemudian," katanya.
-- BERNAMA
#syarikat pemula niaga #SIDEC #Pitch Malaysia USA Series 2023 #Yong Kai Ping
;