Sidang kemuncak bersejarah, ASEAN menimbang FTA dengan EAEU

Bernama
Mei 22, 2016 12:41 MYT
Najib di sidang media bersama warga media dari Malaysia di Sochi, Rusia pada Jumaat. - FotoBERNAMA
Bersejarah dan penting, itu yang digambarkan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berakhir baru-baru ini.
Negara-negara Asia Tenggara mencapai persetujuan di Sochi untuk menimbang secara serius mewujudkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU), di mana Rusia adalah antara negara utama dalam kesatuan tersebut.
Dalam temu bual dengan RT, saluran berita Inggeris Rusia, di Sochi, Najib berkata sidang kemuncak itu penting kerana ia memberi peluang "untuk melihat kepada apa yang telah kami capai dan melihat ke hadapan" selepas 20 tahun hubungan ASEAN-Rusia.
"Perkara paling penting adalah persetujuan dalam kalangan ASEAN yang kami perlu menimbang secara serius untuk mewujudkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan EAEU," katanya.
Selain Rusia, blok perdagangan EAEU dianggotai Armenia, Belarus, Kazakhstan dan Kyrgyzstan.
Rusia telah menjadi rakan dialog ASEAN sejak Julai 1996.
Kumpulan ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Laos, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Najib berkata negara-negara ASEAN lain turut mengemukakan permintaan untuk mewujudkan hubungan dengan EAEU.
"Kami perlu memutuskan sama ada kami perlu meneruskan secara pelbagai hala atau dua hala tetapi apa pun, yang penting, hasilnya adalah hasrat kami untuk mencapai integrasi ekonomi akhirnya," katanya.
Selain integrasi ekonomi, Najib turut menekankan kepentingan untuk bekerjasama dengan Rusia dalam bidang keselamatan, politik dan budaya.
Ditanya sama ada integrasi ekonomi akan sama dengan Kesatuan Eropah (EU), Najib berkata ia tidak sama seperti EU, tetapi sebaliknya FTA.
Ia akan melibatkan seperti pengurangan tarif, pergerakan barangan atau perkhidmatan dan tiada isu politik dan negara, katanya.
Dianggarkan negara-negara anggota ASEAN dan EAEU mempunyai gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak USD3.5 trilion dan gabungan penduduk lebih 700 juta orang.
"Ia pasaran yang luas dengan potensi yang besar," kata Najib.
Mengenai keberkesanan sekatan ekonomi, Najib berkata : "Saya tidak fikir begitu. Saya tidak fikir ia berkesan.
"Perkara paling penting adalah melibatkan proses rundingan, dan elak mempertimbangkan untuk sekatan, kerana saya fikir ia akan menjejaskan lebih ramai orang daripada yang diinginkan," katanya.
#Brunei #EAEU #FTA #Indonesia #Kemboja #laos #Najib Razak #Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia
;