Sidang kemuncak APEC tidak terjejas tanpa Obama
Bernama
Oktober 6, 2013 08:45 MYT
Oktober 6, 2013 08:45 MYT
Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2013 peringkat ketua negara, tidak akan terjejas walaupun Presiden Amerika Syarikat (US), Barack Obama tidak menghadirinya kali ini.
Negara tuan rumah Indonesia, bertekad mengekalkan momentum sidang kemuncak itu dengan menyatakan keputusan Obama untuk tidak menghadiri sidang kemuncak itu juga tidak akan menjejaskan hubungan antara Jakarta dan Washington, kata Menteri Luar Indonesia Marty Natalegawa.
"Kami (Indonesia) sedia maklum dengan kesulitan yang sedang dialami di US ketika ini menyebabkan Presiden Obama harus memberi keutamaan kepada krisis sebahagian operasi kerajaan negara itu yang lumpuh," katanya.
Beliau bagaimanapun turut menzahirkan rasa gembira dan berbesar hati atas kehadiran Setiausaha Negara US, John Kerry untuk mewakili negara itu pada persidangan kali ini.
Pada sidang akhbar berasingan pada Sabtu di sini, Kerry berkata komitmen US terhadap Asia tidak pernah luntur meskipun Obama tidak dapat hadir pada sidang kemuncak Apec berikutan penutupan sebahagian operasi agensi pentadbiran negara itu.
"Apa yang berlaku di Washington tidak sama sekali menjejaskan komitmen kami kepada rakan di Asia," katanya.
Ketidakhadiran Obama ini merupakan kali kedua berturut-turut Presiden itu gagal menghadiri Sidang Kemuncak APEC, -- kali pertama pada APEC di Vladivostok, Rusia tahun lepas.
Sidang kemuncak APEC kali ini yang bertemakan "Ke arah Daya Tahan Asia Pasifik, Enjin Pertumbuhan Global" bermula dengan mesyuarat para pegawai kanan pada Selasa dan Rabu lepas, diikuti Mesyuarat Peringkat Menteri semalam dan hari ini, serta sidang kemuncak ketua ekonomi pada Isnin dan Selasa ini.