SIBS2020 hubungkan perniagaan secara dalam talian
Ehsan A Marisah
September 24, 2020 21:17 MYT
September 24, 2020 21:17 MYT
KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2020 (SIBS2020) akan diteruskan secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini.
Menurut Datuk Hasan Azhari Idris, Ketua Pegawai Invest Selangor Berhad, persidangan dalam talian yang bermula dari 14 hingga 17 Oktober 2020 itu merupakan inisiatif membudayakan norma baharu dan penerapan digital kepada usahawan seluruh Malaysia.
Beliau berkata SIBS2020 merangkumi beberapa perkara termasuklah ekspo maya, persidangan secara langsung dan siri webinar serta peluang meluaskan jaringan perniagaan.
“Inisiatif digitalisasi ini akan mengukuhkan lagi status negeri pintar (smart state) dalam menerajui penggunaan teknologi digital ketika menjalankan perniagaan.
"Ia turut membantu usahawan untuk bangkit dan bangun semula walaupun dalam krisis COVID-19,” katanya dalam suatu kenyataan di sini.
Sidang kemuncak maya empat hari itu juga menawarkan peluang kerjasama dan padanan perniagaan dalam talian yang membolehkan wakil perniagaan bertemu, berhubung dan meluaskan jaringan dengan kebanyakan pemain industri dan pengunjung dari rantau ASEAN.
Selain itu, ia turut membantu syarikat tempatan dan antarabangsa menghadapi cabaran serta menawarkan saluran pemasaran baharu melalui penerapan digital.
Tiga acara utama dari tahun-tahun sebelumnya turut ditampilkan termasuklah Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE), Persidangan Perniagaan Selangor-ASEAN (SABC) dan Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC).
Dikenali sebagai Gerbang Laluan ASEAN (The Gateway to Asean), persidangan ini cukup signifikan dalam usaha menonjolkan Selangor sebagai hab perniagaan serantau di samping kelebihan daya saing lain.
Tahun lalu, SIBS2019 menerima lebih daripada 34,000 pengunjung dengan nilai transaksi RM447.3 juta dan menjadikannya kejayaan terbesar sejak dimulakan pada 2015.
Inisiatif secara dalam talian ini merupakan pemangkin kepada masa hadapan perniagaan yang lebih mapan, pintar dan cerah.
Bagi yang berminat untuk menyertai ekspo, persidangan dan webinar atau ingin mengetahui lebih lanjut mengenai SIBS2020 yang dilakuakan secara maya ini, layari www.selangorsummit.com.
#SIBS
#SIBS2020
#SIE
#SABC
#SDEC
#Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2020
#Hasan Azhari Idris
#Invest Selangor