SIBS 2024 Siri 2 catat 44,000 pengunjung, RM1.66 bilion transaksi perniagaan berpotensi

Israr Khalid
November 7, 2024 16:50 MYT
Walaupun format dua siri ini tidak membawa jumlah keseluruhan pengunjung lebih banyak daripada SIBS 2023, sidang kemuncak ini secara ketara melonjakkan perkongsian dan hasil perniagaan, mencerminkan impaknya kepada ASEAN yang semakin berkembang.
SHAH ALAM: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 Siri 2 melabuhkan tirainya dengan nada cemerlang, menerima 44,295 pengunjung dari lebih 80 negara, serta menjana RM1.66 bilion dalam transaksi berpotensi.

Ringkasan AI
  • Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 Siri 2 berjaya menarik 44,295 pengunjung dari lebih 80 negara dan menjana RM1.66 bilion dalam transaksi berpotensi. Acara ini mengukuhkan Selangor sebagai gerbang perniagaan dan inovasi di ASEAN.
  • Acara ini menampilkan Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B), Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC), Konvensyen Sains Hayat Selangor (SLC), dan Konvensyen Bandar Pintar & Ekonomi Digital Selangor (SDEC). Setiap konvensyen membawa tema dan inovasi baharu, serta memupuk kolaborasi strategik.
  • Lebih 300 hubungan perniagaan dipatri dalam sesi one-on-one, memudahcarakan kolaborasi antara pelabur, pedagang, dan usahawan. SIBS 2024 Siri 1 dan Siri 2 secara keseluruhan menjana RM13.86 bilion dalam transaksi perniagaan berpotensi dan menandatangani 82 Memorandum Persefahaman (MoU).

Dihoskan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan dianjurkan oleh Invest Selangor Berhad, Siri Kedua ini mengukuhkan lagi SIBS sebagai acara antarabangsa untuk perniagaan, inovasi, dan pertumbuhan lestari di ASEAN, dengan meletakkan Selangor sebagai gerbang ke rantau ini.
Dijayakan dengan 500 pempamer dari 20 negara, SIBS 2024 Siri 2 membawakan inovasi-inovasi baharu, tema-tema baharu, juga perkongsian strategik.
Berikut antara sorotan utama acara:
Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B)
Menampilkan lebih 300 pempamer dari 12 negara dan sembilan negeri Malaysia, ekspo F&B ini mempamerkan kemajuan dalam teknologi makanan, pembungkusan mampan, dan protein-protein alternatif.
Acara ini menarik 194 pembeli dari 22 negara, melonjak profil Selangor sebagai hab inovasi makanan ASEAN.
Minggu Thailand 2024 juga diletak bersama dalam ekspo F&B ini dan menyaksikan kehadiran antarabangsa terbesar dengan 80 reruai, menyokong perniagaan dan ikatan budaya Thai-Malaysia.
Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) adalah satu lagi acara yang diletak bersama dalam ekspo ini, memberi tumpuan kepada pensijilan halal, logistik, dan inovasi digital, memupuk kolaborasi dalam industri halal.
Demonstrasi masakan oleh Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bersama Datuk Chef Ismail Ahmad antara yang mencuri tumpuan di situ.
Konvensyen Sains Hayat Selangor (SLC)
Acara yang ini menghimpunkan para pemimpin dari bidang biotek, farmaseutikal, dan penjagaan kesihatan ini dilengkapkan dengan pelancaran Program Perkongsian Makmal Selangor serta diteruskan dengan Persidangan Sinergi Sains Hayat dan Seminar Masa Depan Lestari Selangor-Korea.
SLC mengukuhkan peranannya sebagai pentas utama untuk sains hayat di ASEAN.
Konvensyen Bandar Pintar & Ekonomi Digital Selangor (SDEC)
SDEC menyatukan pakar dalam semikonduktor, transformasi digital dan teknologi bandar, dengan tema seperti Inovasi Semikonduktor, Inovasi AI Generatif, dan Pendigitalan PKS TikTok Shop.
Ia diakhiri dengan Hari Demo Pemula, menampilkan Program Pemecut Selangor (SAP), di mana 20 syarikat pemula membentangkan inovasi mereka dalam AI, biotek, dan kelestarian kepada para pelabur.
SAP menyediakan bimbingan dan persediaan pelaburan, menjadikan Selangor sebagai pemimpin ASEA dalam pembangunan bandar pintar.
Rangkaian dan Padanan Perniagaan
Lebih 300 hubungan dipatri dalam sesi-sesi ‘one-on-one’, memudahcarakan kolaborasi antara para pelabur, pedagang dan usahawan.
“Tahun ini menandakan percubaan pertama kami untuk menganjurkan SIBS dalam dua siri, dan kedua-duanya melangkaui jangkaan dalam kehadiran berkualiti, nilai transaksi, dan impak industri.
“Kami berbesar hati untuk melihat Selangor dikenali sebagai hab perniagaan global, menarik para pemimpin dan pelabur melalui komitmen kami kepada kelestarian dan inovasi,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Datuk Hasan Azhari.
Kedua-dua SIBS 2024 Siri 1 dan Siri 2 menampilkan 994 reruai dan 664 pempamer, menarik 52,845 pengunjung, serta menjana RM13.86 bilion dalam transaksi perniagaan berpotensi, dengan 82 Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani.
Walaupun format dua siri ini tidak membawa jumlah keseluruhan pengunjung lebih banyak daripada SIBS 2023, sidang kemuncak ini secara ketara melonjakkan perkongsian dan hasil perniagaan, mencerminkan impaknya kepada ASEAN yang semakin berkembang.
Untuk penganjuran SIBS 2025, tumpuan akan diarahkan kepada usaha menjadikan Selangor sebagai pusat penyelesaian perniagaan transformatif dan maju di ASEAN, dengan komitmen untuk memupuk perkongsian berimpak dan berjangka panjang untuk masa depan yang mampan.
#SIBS 2024 #Invest Selangor #Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor #PKS
;