SIBS 2023: Affin Bank pacu pertumbuhan PKS, bentuk masa depan digital

Nina Rozman
Oktober 20, 2023 17:50 MYT
Strategi Affin ketika ini adalah untuk mempercepatkan transformasi dengan mewujudkan perkongsian dan kerjasama yang kukuh bersama pemegang kepentingan korporat dan PKS utama. - Foto Affin Bank
KUALA LUMPUR: Affin Bank Berhad kekal komited menyokong Perusahaan, Kecil dan Sederhana (PKS) dalam perjalanan pertumbuhan perniagaan dengan menawarkan penyelesaian yang direka khusus untuk mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata pihaknya menawarkan pelbagai produk dan penyelesaian perniagaan kepada dua fasa utama, iaitu fasa permulaan perniagaan dan fasa pertumbuhan.
"Bagi fasa permulaan perniagaan untuk syarikat yang telah beroperasi selama tiga tahun atau kurang, Affin Bank menawarkan sokongan menyeluruh termasuk pembukaan Akaun Semasa Perniagaan, pengaktifan 'AFFINMAX Online Banking', pendaftaran SMEasy Protect, dan penyelesaian QR Pay", tambahnya.
Selain itu, Affin BANK juga menawarkan pembiayaan sehingga RM400,000 dengan tempoh pinjaman sehingga tujuh tahun tanpa perlu jaminan.
Beliau berkata, bagi fasa pertumbuhan untuk syarikat yang beroperasi lebih dari tiga tahun, Affin Bank menyediakan pelbagai pilihan pembiayaan antaranya pembiayaan hartanah dan modal termasuk pembiayaan melalui skim jaminan sehingga RM1 juta.
"Kami juga menawarkan fasiliti yang dibiayai oleh Bank Negara Malaysia (BNM) seperti Agromakanan, Automasi dan Pendigitalan, Teknologi Tinggi dan Hijau, serta Peralihan Karbon Rendah," kata Mashafuddin ketika ditemui Astro AWANI seiring penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata strategi Affin Bank ketika ini adalah untuk mempercepatkan transformasi dengan mewujudkan perkongsian dan kerjasama yang kukuh bersama pemegang kepentingan korporat dan PKS utama.
Salah satu contohnya ialah kerjasama dengan Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dengan menganjurkan Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX23) dan Selangor Accelerator Programme 2023 (SAP2023).
SIBS 2023 dengan tema 'Selangor Pintu Masuk ke ASEAN' berlangsung selama empat hari bermula 19 Oktober hingga 22 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
#SIBS 2023 #Affin Bank Berhad #PMKS #pinjaman perniagaan
;