SIBS 2021: Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Selangor 2021 himpun pakar kesihatan terkemuka

Nursyazwani Saiful Sham
November 19, 2021 12:12 MYT
Ia turut melibatkan pakar-pakar dalam bidang penyelidikan, perkhidmatan dan operasi untuk membincangkan usaha menangani isu utama dalam penjagaan kesihatan. - Foto: Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Selangor 2021 menghimpunkan pakar-pakar kesihatan terkemuka dan pemain industri bertujuan untuk mempromosi dan mempamerkan perkhidmatan kesihatan terkini yang ditawarkan negeri Selangor.
Ia turut melibatkan pakar-pakar dalam bidang penyelidikan, perkhidmatan dan operasi untuk membincangkan usaha menangani isu utama dalam penjagaan kesihatan.
Invest Selangor dalam satu kenyataan menjelaskan, persidangan yang dianjurkan sempena Sidang Kemuncak Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 turut memberi fokus kepada mencari penyelesaian inovatif dalam bidang penjagaan kesihatan.
Tiga tema utama yang dibincangkan dalam persidangan tersebut adalah penjagaan kesihatan, penjagaan usia dan kesihatan digital.
Bagi penjagaan kesihatan, antara lain ia akan memberi fokus bagaimana pemain industri dapat bergerak ke hadapan dan berdepan dengan cabaran semasa seiring dengan keadaan kesihatan semasa yang sering berubah untuk menepati permintaan.
Penjagaan usia pula memberi penekanan kepada penjagaan populasi warga emas yang lebih efektif dengan mencari jalan penyelasaian berdasarkan cadangan yang dikemukakan.
Kesihatan digital pula ada selari dengan perkembangan teknologi semasa yang mana perkongsian maklumat antara pemain industri untuk menempuh tempoh sukar pandemik akan datang.
SIBS 2021 mengutamakan penjagaan kesihatan memandangkan ia adalah kluster utama industri di Selangor untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan kesejahteraan rakyat negeri itu secara keseluruhannya.
#SIBS 2021 #penjagaan kesihatan #teknologi