SIBS 2021 perluas peluang teroka pasaran ASEAN

Nursyazwani Saiful Sham
November 18, 2021 20:07 MYT
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tengah) berkenan merasmikan pembukaan Selangor International Budiness Summit 2021 (SIBS 2021) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto/ Bernama
KUALA LUMPUR : Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 membuka tirai hari ini secara hibrid buat julung kali.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan SIBS 2021 yang diadakan secara fizikal di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan secara maya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan SIBS 2021 adalah peluang terbaik bagi pemain industri meneroka pasaran ASEAN.
Ujarnya, SIBS 2021 adalah acara tahunan yang dianjurkan kerajaan negeri Selangor dan ia merupakan sidang kemuncak perniagaan utama di rantau ASEAN.
“Ia membuka peluang kepada pemain industri tempatan dan antarabangsa bersidang untuk meneroka potensi pasaran ASEAN.
“Ini adalah peluang kepada pemain industri untuk menghubungkan pasaran lebih luas yang pastinya penting terutamanya dalam menempuh keadaan ekonomi mencabar ketika ini.
“SIBS 2021 turut menyediakan peluang memperluaskan perniagaan di seluruh negeri terutamanya dalam lima kluster utama termasuk rangkaian industri, aeroangkasa dan farmaseutikal yang mempunyai potensi tertinggi untuk memacu pertumbuhan ekonomi untuk tempoh terdekat serta masa depan,” katanya ketika berucap semasa majlis perasmian SIBS 2021 hari ini.
Pada masa sama, Amirudin menjelaskan bagi memastikan pertumbuhan lestari, Selangor komited untuk menjadi pusat pengeluar berteknologi tinggi.
Ujarnya, Selangor sedang bergiat aktif untuk menarik minat pelabur yang berkebolehan dalam Industri Revolusi (IR4.0) seperti automasi, Internet of Things (IOT) dan robotik.
Dalam pada itu, Inisiatif Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor 2021-2030 dan Buku Garis Panduan Standard Taman Perindustrian Terurus (MIP) Selangor turut dilancarkan hari ini.
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim.
SIBS 2021 bakal diadakan selama empat hari bermula hari ini hingga 21 November 2021 dengan enam acara utama.
#ASEAN #SIBS 2021 #ekonomi #Selangor
;