SIBS 2021 dijalankan secara hibrid, tumpu sektor bisnes perubatan
Israr Khalid
Oktober 6, 2021 05:12 MYT
Oktober 6, 2021 05:12 MYT
KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor, atau Selangor International Business Summit (SIBS) kembali lagi tahun ini bermula 18 hingga 21 November, dalam format hibrid.
Acara dan aktiviti yang terangkum dalam enam komponen utamanya akan dijalankan secara fizikal di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur KLCC, juga secara maya di Selangor Business Hub.
Selangor International Expo (MEDIC) menjadi acara utama dan julung kali diadakan dalam sidang kemuncak ini, bakal menghimpunkan pemain-pemain industri bekalan peralatan perubatan dan diagnostik, penjagaan kesihatan, farmasi, hospital yang mempromosikan dan mempamerkan perkhidmatan kesihatan terkini.
Bersempena itu juga akan dilangsungkan Persidangan Perubatan Antarabangsa Selangor dengan tiga tema utama, iaitu vaksinasi, penjagaan warga emas dan kesihatan digital yang sememangnya menjadi tumpuan di era pandemik ini.
Di samping itu turut ditampilkan buat kali pertama adalah Selangor Industrial Park Expo (SPARK) 2021, yang menjadi pentas pertemuan pemaju-pemaju taman perindustrian terancang juga bakal menyaksikan pelancaran Buku Garis Panduan Standard Taman Perindustrian Terurus (MIP) Selangor.
Pada masa sama dilangsungkan juga empat acara komponen utama yang lain iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC), Persidangan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) serta Ekspo R&D dan Inovasi Selangor (SRIE).
Bercakap ketika muncul dalam program Agenda AWANI pada Rabu, Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim memaklumkan bahawa inilah pentas terbaik untuk pada peniaga dan pelabur tempatan mendedahkan diri kepada pasaran antarabangsa.
“Semua ini adalah satu platform diwujudkan untuk peniaga kita dan pelabur di Malaysia ini berhubung dengan peniaga dan juga pelabur antarabangsa, dengan itu kita dapat memperluaskan lagi rangkaian perniagaan Selangor ke seluruh dunia.”
“Jadi saya mengalu-alukan usahawan kecil dan sederhana kita untuk mengambil kesempatan ini bukan saja mencari perniagaan tapi mendedahkan diri kepada cabaran antarbangsa.”
Turut sama akan diadakan sebagai acara sampingan nanti adalah Pesidangan Halal Antarabangsa Selangor, Festival Kulinari Antarabangsa Selangor, dan Persidangan Usahawan China Malaysia.
#Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor
#Selangor International Business Summit
#SIBS
#SIBS 2021