SHRDC, Enfrasys meterai MoU gabung rangkaian swasta 5G sementara

Bernama
Ogos 7, 2024 08:40 MYT
Amirudin menyampaikan ucaptama pada majlis Enfrasys Summit 2024 di IDCC Convention Centre, Shah Alam, 6 Ogos 2024. -- fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) dan Enfrasys Solutions Sdn Bhd (Enfrasys) pada Selasa memeterai Memorandum Persefahaman bagi membolehkan SHRDC menggabungkan rangkaian swasta 5G sementara untuk pengesahan penyelesaian digital.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata MoU itu selaras dengan usaha pendigitalan kerajaan negeri dalam pentadbirannya kerana rakyat mendambakan sistem penyampaian yang lebih efisien dari segi perkhidmatan di Selangor.
"Saya yakin SHRDC akan mendapat manfaat daripada inovasi dan penyampaian perkhidmatan melalui Rangkaian Swasta 5G, yang membolehkan penerokaan potensi faedah kepada perusahaan di Selangor dengan prestasi dan keutuhan rangkaian industri yang dipertingkat.
"...dan memacu transformasi digital bagi industri dan perusahaan yang dipermudah oleh teknologi terkemuka seperti 5G, Pengkomputeran Pinggir dan AI,'' katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Enfrasys 2024: Membentuk Masa Depan Perniagaan dengan Teknologi di sini semalam.
Memandangkan kerajaan menyasarkan untuk bergerak lebih pantas ke arah digitalisasi, Amirudin berkata Selangor perlu lebih cepat menyesuaikan diri dengan perubahan sambil menggelak daripada terperangkap dalam gelembung digital melalui penggunaan teknologi mesra pengguna dan mampu menyelesaikan masalah sekali gus memudahkan rakyat menjalani kehidupan sehari-hari.
"Kerjasama hari ini adalah bukti bahawa Kerajaan Negeri Selangor berusaha mengenal pasti rakan kongsi utama bagi mempercepat langkah melatih semula dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja kita agar rakyat Selangor boleh menjana pendapatan tinggi melalui pekerjaan lebih berkualiti.
"Kami perlu mengetengahkan sistem yang membuatkan masyarakat tidak hanya bergantung kepada kerajaan tetapi lebih berdikari dalam ekonomi lebih bermaruah,'' katanya.
MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi Enfrasys Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail dan Pengarah Eksekutif SHRDC dengan disaksikan oleh Amirudin serta Exco Hal Ehwal Agama dan Inovasi Kebudayaan Negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah.
-- BERNAMA
#Amirudin Shari #rangkaian swasta 5G sementara #MoU #pendigitalan
;