Shell, Porsche umum permulaan operasi stesen pengecas berprestasi tinggi di Tangkak
Astro Awani
Januari 14, 2022 08:10 MYT
Januari 14, 2022 08:10 MYT
KUALA LUMPUR: Shell dan Porsche Asia Pasifik mengumumkan permulaan operasi stesen pengecas berprestasi tinggi (HPC) di Tangkak, Johor.
Ini merupakan rangkaian HPC pertama di Asia Tenggara dan infrastruktur EV merentas negara pertama Shell di rantau ini.
Ia akan membantu pengguna EV mengurangkan masa pengecasan, menempah dan membayar harga melalui platform bersepadu.
Stesen HPC ini menandakan permulaan pembinaan 12 tempat pengecasan di enam stesen Shell yang terletak di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.
“Penyahkarbonan ialah cabaran global yang memerlukan penyelesaian dari pelbagai aspek.
"Perkongsian kami dengan Porsche dalam memenuhi keperluan pelanggan EV merupakan inisiatif penting di bawah strategi Powering Progress untuk mencapai matlamat kami iaitu pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
"Bersama Porsche, kami akan berusaha untuk menambah baik pengalaman pengecasan EV sepanjang perjalanan yang menghubungkan tiga negara di rantau ini,” kata Naib Presiden Kanan Mobility – East Shell, Amr Adel.
Orang ramai akan dapat mengecas kenderaan elektrik (EV) mereka dengan pantas di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan untuk pemanduan yang lancar dari Singapura melalui Malaysia ke Thailand pada akhir tahun ini.
Melalui perkongsian ini, enam stesen Shell di Malaysia akan dilengkapi dengan pengecas arus terus (DC) 180 kilowatt (kW), menawarkan kapasiti pengecasan terpantas di seluruh Malaysia.
Semua pelanggan EV akan dapat menggunakan Rangkaian HPC melalui perkhidmatan pay-per-use atau pelan keahlian eksklusif dengan membuat tempahan melalui aplikasi tempahan dalam talian.