Shazalli Ramly tidak mahu jadi CEO MAS
Astro Awani
September 11, 2014 14:51 MYT
September 11, 2014 14:51 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif CELCOM Axiata Bhd, Datuk Seri Shazalli Ramly melenyapkan khabar angin yang mengatakan beliau bakal menerajui Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS).
Lapor The New Straits Times, berita yang mengatakan beliau akan menggantikan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya adalah tidak benar.
Shazalli berkata beliau akan kekal berada di Celcom untuk lima tahun akan datang bagi mengukuhkan syarikat berkenaan.
Sebelum ini, nama Shazalli disebut-sebut sebagai calon Ketua Pegawai Eksekutif yang berpotensi untuk menerajui syarikat penerbangan yang sedang menghadapi masalah itu.
Selain Shazalli, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Axiata Group milik Khazanah, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim turut dikatakan akan menjadi calon menduduki jawatan penting itu.
Namun, Idris sebelum ini telah menafikan akan menjawat jawatan tersebut.
Khazanah juga kini sedang meninjau calon-calon berpotensi dari industri penerbangan global dan juga tempatan untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu MAS.
Ahmad Jauhari, yang kontrak tiga tahunnya dijadual tamat bulan depan, akan terus menerajui entiti sedia ada MAS sehingga 1 Julai 2015 bagi melicinkan peralihan daripada entiti lama kepada entiti baharu MAS yang disusun semula.
#Ahmad Jauhari Yahya
#Datuk Seri Shazalli Ramly
#hazalli Ramly menghapus khabar angin yang mengatakan beliau bakal menerajui Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines
#Ketua Pegawai Eksekutif CELCOM Axiata Bhd
#Khazanah
#MAS