SGCF 2023 tawar platform perniagaan kepada PKS

Astro Awani
Mei 20, 2023 19:11 MYT
Norazidin (tengah) berkata SGCF 2023 dijangka dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari - Gambar SGCF 2023
KUALA LUMPUR: Soul & Grunge Chooper Fest 2023 (SGCF 2023) menawarkan platform kepada usahawan-usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menambah pendapatan dalam acara sulung komuniti motosikal berkuasa tinggi dan klasik di Selangor.
Menurut pengarah program, Norazidin Sharifuddin, sebanyak 120 ruang niaga ditawarkan kepada para usahawan PKS, pusat tahfiz dan ibu tunggal sepanjang dua hari penganjuran program dua hari yang bermula 10 sehingga 11 Jun depan.
Jelas Norazidin, SGCF 2023 anjuran Eighteen June Pictures dengan kerjasama Bakti Kasih Malaysia dijangka dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.
"Beberapa kategori akan dibahagikan kepada para usahawan seperti pakaian, makanan serta aksesori motosikal sebagai platform kepada mereka untuk berniaga dan seterusnya menambahkan pendapatan serta meningkatkan tahap ekonomi
"Program yang menghimpunkan komuniti motosikal berkuasa tinggi dan motosikal klasik itu merupakan platform efektif dan berkesan untuk mempromosikan produk-produk dan perkhidmatan usahawan PKS.
"Ini kerana ia bukan sahaja dikunjungi penggemar motosikal berkuasa tinggi dan klasik dari seluruh negara, bahkan bakal dikunjungi masyarakat berbilang kaum tanpa mengira usia dan tahap pendapatan dari sekitar Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut Norazidin berkata, sebagai tanda sokongan, komuniti motosikal berkuasa tinggi dan klasik termasuk Harley Davidson, Royal Enfield, Triumph dan Vespa dari seluruh negara akan berkumpul bersama memeriahkan program tersebut.
Sementara itu, usahawan selebriti yang juga Pengerusi Bakti Kasih Malaysia, Wak Doyok menyifatkan penganjuran program tersebut membuka peluang untuk komuniti permotoran membantu golongan asnaf.
"Setakat ini, kami telah mengenal pasti beberapa peniaga untuk diberikan ruang niaga percuma tanpa apa-apa bayaran," ujarnya.
Pada program tersebut, pelbagai acara akan diadakan termasuk pertandingan motosikal cantik dan ubah suai yang dibahagikan kepada enam kategori, selain hadiah berjumlah RM30,000 menanti para pemenang.
Selain acara permotoran, program tersebut akan dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Hazama, Mus May dan persembahan istimewa kumpulan Subculture.
#SGCF 2023 #usahawan #komuniti motosikal berkuasa tinggi #tahap ekonomi
;