Setahun berdepan cabaran, enam fokus utama Kementerian Kewangan pulihkan ekonomi
Hasimi Muhamad
Mac 6, 2021 20:21 MYT
Mac 6, 2021 20:21 MYT
PUTRAJAYA: Selepas setahun berdepan cabaran untuk memulihkan ekonomi dan mengekalkan kesejahteraan rakyat berikutan pandemik COVID-19, Kementerian Kewangan menyasarkan enam fokus utama pada tahun ini.
Ia bagi memastikan ekonomi negara terus berdaya saing, selari dengan pelbagai pakej rangsangan yang telah diperkenalkan kerajaan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara fokus tersebut ialah kerajaan sedang mengkaji nasib rakyat khususnya dalam ekonomi tidak rasmi agar lebih terbela.
"Dari kaji selidik ringkas yang kami jalankan di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur, kita dapati masih ada golongan rakyat yang tercicir dan tidak berdaftar dengan mana-mana kecuali Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Ini bagi membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka.
"Selain itu, kerajaan juga akan mengkaji isu-isu struktur yang selama ini telah memerangkap negara dalam jerat pendapatan sederhana, dan ia juga akan diperincikan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12)," katanya ketika membentangkan laporan sorotan dan kejayaan Kementerian Kewangan sempena Setahun Malaysia Prihatin, di sini.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata menerusi Majlis Pekerjaan Negara (MPN), kerajaan menyasarkan penciptaan 500,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.
Ia masing-masing melibatkan 250,000 daripada Penjana Kerjaya; 200,000 (Kemahiran semula dan peningkatan kemahiran); serta 50,000 lagi melalui Skim MySTEP.
"Insya-Allah hasrat ini mampu dicapai. Selain itu, bantuan langsung dan usaha memudah cara aliran tunai rakyat. Ia termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang telah dipercepatkan daripada bulan Mei ke Februari 2021, dan kita telah pun membuat pembayaran untuk BPR.
"Seterusnya, kebenaran pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) berjumlah RM10,000 dan juga bantuan sosial kepada kumpulan rentan," katanya.
Melalui inisiatif pendigitalan pula, sebanyak RM3.53 bilion diperuntukkan bagi membina masa depan yang lebih baik termasuk RM1.65 bilion menerusi keterangkuman digital.
Antara fokus lain yang turut ditekankan adalah transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC); pemerkasaan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS); serta mempercepatkan pelaksanaan projek.
Melalui Transformasi GLC, Tengku Zafrul menjelaskan langkah tersebut adalah bagi menentukan kembali hala tuju visi dan misi syarikat-syarikat terbabit terutamanya selepas negara dilanda pandemik COVID-19.
Selain itu, beliau berkata PKS telah menyumbang lebih kurang 39 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, dan melebihi 70 peratus pekerjaan di Malaysia.
"Kerajaan juga akan mempercepatkan projek bagi mendorong pemulihan dan pembangunan ekonomi Malaysia.
"Dari segi Belanjawan 2021, sejumlah 205 inisiatif (akan dilaksanakan) dan kita akan memantaunya melalui LAKSANA (Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional) atau bahagian cukai," katanya.
KDNK mencatatkan RM357.4 bilion pada suku tahun keempat 2020 berbanding dengan RM289.4 bilion pada suku tahun kedua 2020.
Menurut Bank Dunia, KDNK Malaysia dijangka meningkat pada kadar 5.6 peratus hingga 6.7 peratus pada 2021.
#KDNK
#PENJANA
#Belanjawan 2021
#Keluaran Dalam Negara Kasar
#Kementerian Kewangan
#PKS
#GLC
#EPF
#Setahun Malaysia Prihatin
#Tengku Zafrul
#PRIHATIN
#PERMAI
#BPR